Sebuah bas yang membawa 39 orang penumpang telah kemalangan bersama dengan sebuah treler di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat dekat Simpang Tiga Bahau, Muadzam Shah.
Menurut Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Nor Azman Yusof, bas tersebut membawa rombongan guru dari Sekolah Kebangsaan Jeram, Masjid Tanah, Melaka dan sedang dalam perjalanan ke Terengganu bagi menghadiri program penanda aras.
Siasatan awal mendapati kemalangan terjadi pada tengah malam Sabtu apabila pemandu bas gagal memberhentikan kenderaan lalu telah merempuh sebuah lori treler yang membawa muatan gelung besi lalu terbalik dan jatuh di cerun jalan.
Sebelum ini, hanya tiga mangsa dilaporkan maut iaitu Penolong Kanan di Sekolah Kebangsaan Jeram, Hasnatul Adilah Hassan, 48 (di tempat kejadian), pemandu kedua bas, Hadi Ashraf Mad Idris, 29 (ketika dalam perjalanan ke hospital) dan Hamzah Ahmad, 60, pembantu operasi sekolah (ketika sedang menerima rawatan di hospital).
Namun, kematian baru telah dilaporkan pada malam tadi iaitu seorang guru, Dahlia Ahmad, 52 tahun, pada jam 9.15 malam ketika sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menjadikan jumlah yang terkorban akibat tragedi maut ini kepada empat orang.
Sumber : Astro Awani