Seorang lelaki rentung lalu maut selepas kenderaan jenis Toyota Vios yang dipandunya terbabas ke dalam parit ketika sedang cuba melarikan diri dari kereta peronda polis di Jalan Benteng, Parit Kongsi 4, di Muar.
Bukan hanya itu, 2 orang anggota polis yang berada dalam kereta peronda polis tersebut juga cedera parah kerana kenderaan mereka turut terbabas ke dalam parit yang sama. Kedua-dua anggota polis tersebut kini sedang menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, kemalangan terjadi selepas suspek cuba melarikan diri dengan kenderaannya dari diperiksa oleh pihak polis pada jam 4 pagi.
Sebelum kejadian terjadi, 2 anggota yang berusia 40 dan 41 tahun sedang melakukan rondaan seperti kebiasaan dan ingin memberhentikan suspek untuk tujuan pemeriksaan di pekan Parit Jawa.
“Namun, suspek melarikan diri dengan memecut kereta jenis Toyota Vios ke arah Parit Jamil. Pada masa sama, polis turut membunyikan siren amaran agar suspek memberhentikan kenderaan sebaliknya dia enggan dan terus memecut.
“Ketika usaha mengejar suspek dilakukan, kedua-dua kenderaan polis dan suspek terbabas dan memasuki parit sama.
“Selepas kemalangan itu, kereta dipandu suspek terbakar menyebabkannya rentung. Dua anggota polis pula parah dan dikejarkan ke HPSF untuk rawatan,” katanya.
Mayat suspek telah dibawa ke hospital yang sama untuk proses bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) telah dijalankan bagi mengenal pasti identiti suspek.
Siasatan lanjut masih sedang dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melakukan tugas.
Sumber : BuletinTV3