Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) didapati telah menggunakan kapal melebihi usia secara high-tempo untuk tujuan operasi maritim kerana gagal melaksanakan perolehan kapal baharu mengikut perancangan dan menyelenggara kapal sedia ada mengikut jadual.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 2024, hanya empat kapal Littoral Mission Ship (LMS) telah selesai dibuat perolehan dan diterima setakat 31 Dis 2022 walhal sepatutnya membuat perolehan 10 LMS di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan RMK12.
“Prestasi perolehan dan penerimaan kapal TLDM di bawah RMK11 dan RMK12 sehingga 31 Dis 2022 adalah rendah berbanding sasaran ditetapkan. TLDM menyasarkan perolehan 18 kapal namun hanya empat diterima.
“Selain itu TLDM sepatutnya menerima dua kapal Multi Role Support Ship (MRSS) di bawah RMK12, tetapi perolehan hanya akan dilaksanakan di bawah RMKe-13 kerana kekangan peruntukan. Keadaan ini menyebabkan TLDM masih menggunakan kapal melebihi usia guna,” menurut laporan yang telah dibentang di Dewan Rakyat semalam.
Bagi memastikan sasaran pegangan kapal menjelang tahun 2050 dapat dicapai dan kesiapsiagaan TLDM sentiasa di tahap tertinggi, LKAN menyarankan Kementerian Pertahanan (Mindef) dan TLDM untuk memastikan Program Transformasi TLDM #15to5 di bawah RMK12 dan seterusnya dilaksanakan mengikut perancangan.
Di samping itu, semakan audit terhadap perbelanjaan penyelenggaraan juga didapati bermasalah di mana hanya RM912.74 juta sahaja yang dibelanjakan berbanding dengan peruntukan penuh yang diberikan iaitu sebanyak RM1,091.63 juta bagi tahun 2020 sehingga 2022 untuk Bahagian Kejuruteraan Markas Tentera Laut.
“Pada tahun 2020, sejumlah RM76.09 juta daripada peruntukan RM406.15 juta tidak dibelanjakan manakala pada tahun 2022, sejumlah RM102.80 juta tidak dibelanjakan daripada peruntukan disalurkan berjumlah RM345 juta.
“Peruntukan tidak dibelanjakan antaranya disebabkan kemajuan kerja penyenggaraan sebahagian kapal oleh kontraktor yang dilantik tidak mengikut jadual ditetapkan dalam kontrak,” menurut laporan itu.
Dengan keperluan sumber kewangan yang mencukupi, LKAN mengesyorkan TLDM supaya memastikan penyelenggaraan kapal dilaksanakan mengikut jadual agar kapal sentiasa berada dalam tahap kesiapsiagaan yang ditetapkan.
Selain itu, di dalam laporan audit tersebut juga telah didedahkan bahawa alat ganti bernilai RM384.49 juta di Depot Bekalan Armada Barat (DBAB) dan Depot Bekalan Armada Timur (DBAT) tidak digunakan.
“DBAB mempunyai 1.62 juta unit alat ganti bernilai RM381.69 juta yang tidak digunakan dan rekod pengeluaran terakhir adalah antara tahun 1969 hingga 2017 manakala DBAT pula mempunyai 6,040 jenis alat ganti bernilai RM2.8 juta tidak digunakan, dengan rekod pengeluaran terakhir adalah antara tahun 2017 hingga 2021,” menurut laporan itu.
Bagi mengelak berlakunya pembaziran, LKAN menyarankan TLDM untuk menyediakan pelan tindakan terhadap stok alat ganti yang tidak digunakan untuk kegunaan sewajarnya.
Sumber : Bernama