Sebuah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah tular hari ini yang memaparkan sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza telah dirempuh oleh sebuah pikap trak jenis Ford di Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur semalam.
Seramai empat orang dilaporkan mengalami cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan terbabit. Menerusi video tersebut, kemalangan terjadi berhampiran lintasan pejalan kaki di hospital terbabit sekitar jam 5.38 petang.
Difahamkan seramai 3 orang sedang menaiki Bezza dan telah dirempuh oleh seorang pemandu pikap trak Ford yang sedang memandu laju sehingga bonet belakang Perodua Bezza terbabit tercabut lalu telah merempuh tiang di lokasi kejadian.
Kesemua mangsa telah dibawa ke unit kecemasan kerana cedera parah untuk rawatan lanjut.
Menurut seorang saksi yang bekerja di HTA, pemandu pikap trak Ford tersebut dipercayai merupakan seorang pengamal media. Setakat ini, sebarang kenyataan rasmi dari pihak berkuasa berhubung kemalangan tersebut masih belum ada.
Sumber : Majoriti