Memetik dari laporan New Straits Times, Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang mempertimbangkan beberapa peraturan berhubung cadangan pengeluaran kad akreditasi untuk pemandu bas di Malaysia.
“Kami sedang memuktamadkan peraturan dari segi pengeluaran kad pemandu bas. Malah, perkara ini telah dibangkitkan kepada kami beberapa bulan lalu, dan kami sebenarnya telah meluluskan pengeluaran kad pemandu bas tertakluk kepada beberapa peraturan yang sedang diperhalusi,” kata menteri pengangkutan Anthony Loke ketika menjawab cadangan Presiden Persatuan Pengusaha Datuk Mohamad Ashfar Ali berhubung kad untuk pemandu bas.
Melalui kad akreditasi berikut, pemandu bas harus bertanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukan mereka sekiranya mereka mendapat sebarang aduan ke atas mereka. Menurut agensi pengangkutan awam darat (APAD), setakat ini, hanya pemandu teksi dan e-hailing sahaja menerima kad akreditasi.
Sementara itu, operasi bersepadu Bas Pelancongan dan Ekspres yang telah dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak Selasa lalu telah berjaya menahan seramai enam pemandu bas kerana gagal ujian saringan air kencing dan empat lagi kerana tiada lesen memandu.
“Kita memandang serius perkara ini kerana daripada angka ini menunjukkan pemandu terlibat bukan sahaja tidak memiliki lesen malah turut terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Saya ingin menegaskan bahawa penguatkuasaan ini tidak bermusim. Ia bukan kerana terdapat kemalangan baru-baru ini. Penguatkuasaan ini akan diteruskan untuk semua jenis kenderaan, sama ada bas persiaran, bas ekspres, bas kilang mahu pun lori,” kata Loke.
Susulan dari kemalangan sebuah bas persiaran yang terbalik di Jalan Genting Highlands sehingga mengakibatkan 2 pelancong warga China maut minggu lalu, tindakan keras bakal dikenakan terhadap pengusaha bas bermula minggu ini.
Sumber : New Straits Times