Beberapa buah cermin kenderaan telah dipecahkan dengan sengaja di kawasan Transit Aliran Ringan (LRT) Awan Besar, Bukit Jalil dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melakukan siasatan terperinci berhubung kejadian terbabit.
Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh, pihak polis telah menerima sebanyak enam laporan polis daripada orang ramai pada hari seterusnya.
Hasil semakan mendapati semua pemilik kenderaan telah memarkir kenderaan mereka di kawasan parkir LRT tersebut pada hari Isnin, sekitar jam 3 petang.
“Pada Selasa, bermula jam lebih kurang 9.20 pagi, pihak polis telah menerima enam laporan berhubung kes cermin kereta dipecahkan di tepi jalan kawasan LRT Awan Besar.
“Seterusnya, beberapa bahagian cermin kereta telah dipecahkan oleh suspek yang masih bebas, sebelum disedari oleh pemilik kenderaan pada keesokan hari,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan siasatan sedang giat dijalankan oleh pihak polis untuk menahan suspek yang masih lagi bebas.
Orang ramai yang mempunyai sebarang info atau maklumat diminta untuk menghubungi talian Hotline Polis Cheras atau Kuala Lumpur ataupun tampil di mana-mana balai polis berdekatan.
Sumber : Sinar Harian