Sepasang suami isteri maut manakala 2 anaknya cedera selepas kenderaan mereka dirempuh oleh sebuah pikap trak yang melanggar lampu isyarat merah di Kilometer (KM)350 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu dekat lampu isyarat Lingkaran Tengah Utama (LTU) Batu 3, Jalan Lipis semalam.
Mangsa dikenali sebagai Muhamad Anasar Kamarozaman, 34, dan Zalina Ali, 40, meninggal dunia di lokasi kejadian sekitar jam 10.20 malam.
Menurut Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman, kenderaan jenis Proton Wira dan sebuah pikap trak jenis Toyota Hilux telah terlibat dalam kemalangan terbabit. Siasatan mendapati Proton Wira yang dinaiki oleh keluarga tersebut sedang dalam perjalanan menuju ke Dong dari susur keluar CSR Raub.
“Apabila sampai di tempat kejadian, semasa kereta itu hendak meneruskan perjalanan selepas lampu isyarat bertukar hijau, tiba-tiba datang Toyota Hilux dari arah Lipis hendak ke Raub dan melanggar Proton Wira dari arah tepi kanan,” katanya.
Pemandu kereta dan isterinya dilaporkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian dan telah dihantar ke Hospital Raub untuk proses bedah siasat. Sementara itu, seorang anaknya yang berusia 15 tahun patah kaki manakala seorang lagi cedera ringan dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Pemandu Toyota Hilux iaitu lelaki berusia 40 tahun telah mengalami kecederaan di mata kiri dan dada,” kata beliau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana kemalangan berpunca dari sikap pemandu Hilux terbabit yang jelas melanggar lampu isyarat merah. Pemandu tersebut telah direman selama 4 hari.
Sumber : Sinar Harian