Warga Emas Maut Rempuh Dua Kereta di Bahu Jalan

Seorang warga emas wanita maut selepas kereta dipandunya melanggar dua kenderaan yang diparkir di bahu jalan di kilometer 90.7 Jalan Kota Bharu-Machang-Gerik di sini semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Siti Khalijah Derama, 60, memandu kereta jenis Perodua Viva telah meninggal dunia di lokasi kejadian sekitar jam 1 tengah hari.

Menurut Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Saari Yaacob, pihak Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jeli telah bergegas ke lokasi bagi untuk menjalankan siasatan.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan melibatkan tiga kenderaan iaitu Perodua Viva, Toyota Wish dan Nissan Teana.

“Sebelum itu, Perodua Viva yang dipandu mangsa dari arah Tanah Merah menghala ke Jeli dipercayai hilang kawalan lalu melanggar dengan dua kenderaan di bahu jalan menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian,” katanya.

Difahamkan, kedua-dua pemandu kenderaan lain yang terlibat dalam kemalangan ini memakir kenderaan mereka di bahu jalan untuk membeli buah di gerai di tepi jalan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga menyebabkan kematian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jeli untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa berhati-hati semasa memandu,” katanya.

 

Sumber : Sinar Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD