Sime Darby Motors, pengedar rasmi jenama BYD di Malaysia, telah melancarkan sebuah model MPV baharu iaitu M6 ke dalam pasaran Malaysia. 2 varian akan ditawarkan iaitu Standard dengan harga bermula RM109,800 dan Extended pada harga RM123,800 (on-the-road tanpa insurans).
Model ini berukuran 4,710 mm panjang, 1,810 mm lebar, 1,690 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,800 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 580 liter sekiranya tempat duduk barisan ketiga dibaringkan.
Untuk varian Standard, ia didatangkan dengan spesifikasi motor elektrik tunggal yang mampu menghasilkan 120 kW dan 310 Nm tork. Untuk jarak sejauh 420 km boleh dicapai dengan pek bateri berkapasiti 55.4 kWh dengan sekali pengecasan. Pecutan 0-100 km/j didakwa dalam masa 10.1 saat.
Bagi varian Extended pula, ia juga didatangkan dengan spesifikasi motor elektrik tunggal yang mampu menghasilkan 150 kW dan 310 Nm tork. Untuk jarak sejauh 530 km boleh dicapai dengan pek bateri berkapasiti 71.8 kWh dengan sekali pengecasan. Pecutan 0-100 km/j didakwa dalam masa 8.6 saat.
Bagi pengecasannya, jika menggunakan pengecas pantas DC berkapasiti 115 kW, ia boleh mencapai status pengecasan 10% hingga 80% dalam masa 40 minit untuk kedua-dua varian. BYD M6 ini kini juga menyokong fungsi Digital Key NFC, di mana pemilik boleh membuka kunci hanya dengan menggunakan Apple Watch, iPhone dan Android.
Rekaan luarannya kini hadir bersama logo BYD yang baru dan tiada lagi tulisan panjang “Build Your Dreams” pada kereta. Wajah hadapannya juga kini sudah diselarikan dengan rekaan signatur model-model terkini BYD.
Memasuki ruang dalam, MPV EV ini menerima tempat duduk balutan kulit sintetik rona coklat, sistem tanpa kunci bersama butang penghidup sistem, pendingin hawa automatik, cermin pandang belakang anti-silau, cruise control, sistem kamera 360-darjah, enam pembesar-suara, skrin infotainment bersaiz 12.8 inci yang boleh berpusing, teks “Build Your Dreams” dalam font baharu dan tuil gear yang besar.
Varian Extended pula menerima ciri tambahan bumbung suria panoramik, tempat duduk hadapan berliang larasan kuasa, pengecas tanpa wayar Qi 15-watt dan pintu ruang barangan (tailgate) berkuasa.
Bagi sistem keselamatan pula, kedua-dua varian M6 diberikan enam-beg udara, sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS), cagak ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak, ABS, Brek Parkir Elektronik (EPB), ESC, dan sistem Kawalan Cengkaman (TCS).
Ciri tambahan untuk varian Extended pula termasuk Sistem Pemanduan Pintar BYD iaitu Brek Kecemasan Autonomous (AEB), Kawalan Kelajuan Pintar (ICC), Amaran Pelanggaran Hadapan dan Belakang (FCW, RCW), Pengesan Titik Buta (BSD) dan Amaran Ketibaan Lorong (LDA).
Dua varian ini akan ditawarkan dengan empat pilihan warna iaitu Crystal White, Ink Stone Blue, Cosmos Black dan Harbour Grey. 300 tempahan pertama akan mendapat pengecas wallbox percuma manakala 100 pelanggan pertama yang menempah di Dataran Karnival Shah Alam akan mendapat kredit cas Gentari bernilai RM800 secara percuma.
Di samping itu, BYD M6 turut menawarkan pakej waranti yang menyeluruh termasuk waranti kenderaan 6 tahun/150,000 km, waranti bateri hebat selama 8 tahun/160,000 km dan waranti unit pemacu yang setanding untuk tempoh 8 tahun/150,000 km.