Presiden Indonesia yang baru dilantik, Prabowo Subianto, mencuri perhatian apabila memilih SUV buatan tempatan, MV3 Garuda Limousine, sebagai kenderaan rasmi. Kenderaan mewah ini dihasilkan oleh PT Pindad, syarikat senjata milik negara.
Prabowo menggunakan SUV berwarna putih ini untuk kali pertama selepas majlis angkat sumpah di Kompleks Parlimen Senayan. Ia membawa plat bertulis “Indonesia”, menjadikannya simbolik kepada negara.
Pengarah Urusan PT Pindad, Abraham Mose, meluahkan rasa bangga kerana kenderaan yang dihasilkan sepenuhnya oleh anak tempatan ini digunakan dalam acara penting tersebut. “Ini adalah pencapaian besar bagi kami,” katanya.
SUV Maung Garuda yang digunakan oleh Prabowo direka khusus untuk kegunaan taktikal dan boleh melalui pelbagai medan yang mencabar. Ia adalah SUV 4×4 dengan kelajuan maksimum 120 km/j dan mampu bergerak sejauh 800 km. Maung Garuda juga boleh dilengkapi dengan pelbagai peralatan termasuk senjata dan sistem navigasi GPS.
Kenderaan Prabowo, bagaimanapun, telah diubah suai dengan elemen gaya Eropah, termasuk rim krom dan logo “GARUDA” di bahagian belakang.
Prabowo yang sering dikaitkan dengan kod nama “Garuda”, menjadikan pemilihan kenderaan ini lebih bermakna.
Ini merupakan langkah yang memperlihatkan sokongan kuat Prabowo kepada produk tempatan serta inovasi anak bangsa. Menurut sumber Bernama.