Sebelum kerangka perundangan baharu berhubung Lemon Law dimuktamadkan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah memperkenalkan dua strategi interim untuk melindungi hak pengguna berkaitan hak tebus rugi.
Menurut Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, strategi yang pertama melibatkan proses permohonan surat persetujuan daripada pengguna menggunakan prosedur operasi standard (SOP) melalui kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi perbankan.
“Pada masa yang sama, institusi perbankan juga telah diminta menubuhkan unit dalaman khusus untuk menerima dan memproses sebarang permohonan berkaitan.
“Bermula 2 September lepas, pihak BNM telah keluarkan arahan meminta pihak bank dan institusi kewangan supaya wujudkan SOP bagi membolehkan pengguna memohon serta mendapatkan surat persetujuan.
“Susulan itu, kedua-dua inisiatif itu dilaksanakan sebelum 3 Disember ini,” katanya.
Menurut laporan Sinar Harian, media sebelum ini melaporkan KPDN menumpukan penyelesaian pertikaian antara pengguna dan syarikat automotif dalam mewujudkan skim ombudsman khas untuk industri automotif di Malaysia.
Keutamaan akan diberikan kepada ciri tersebut dalam skim baharu yang bakal diwujudkan nanti. Sementara itu, beliau turut memaklumkan kerajaan telah melaksanakan inisiatif intervensi untuk memastikan pengguna mempunyai akses kepada medium penyelesaian yang adil dan berkesan.
“Melalui perundangan sedia ada, pengguna kenderaan terpakai mempunyai platform untuk menuntut hak mereka melalui kaedah tuntutan tebus rugi yang boleh disalurkan kepada Tuntutan Tribunal Pengguna Malaysia (TTPM).
“Pengguna pula boleh mendapatkan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi selaras dengan prinsip perlindungan pengguna dalam perundangan Malaysia,” katanya.
Sebanyak 114 jumlah pemfailan tuntutan tebus rugi bagi kenderaan baharu dan 187 tuntutan kenderaan terpakai di TTPM telah diterima oleh KPDN mulai Januari hingga Ogos 2024.
“Bermula 1 Jun sehingga 30 September 2024, sebanyak 16 aduan di bawah pasukan telah diterima dan disiasat oleh pasukan rundingan khas berkaitan aduan kenderaan bermotor ini.
“KPDN sedang mengkaji pelaksanaan serta penguatkuasaan perundangan berkaitan Lemon Law di Malaysia yang menyediakan hak tebus rugi kepada pembeli kenderaan bermotor dan barangan pengguna lain untuk mendapatkan remedi terhadap produk yang berulang kali rosak dan gagal memenuhi standard kualiti dan prestasi.
“Remedi yang boleh dituntut oleh pengguna atau pembeli di bawah Lemon Law ini melibatkan pembaikan, penggantian, pengurangan harga atau pembayaran balik,” katanya.