12,799 Unit Berjaya Dijual Proton pada Oktober 2024 – S70 dan X50 Mengungguli Segmen Masing-Masing

Prestasi jualan bulan Oktober telah diumumkan oleh Proton dengan penjualannya mencapai 12,799 unit kenderaan (domestik & eksport) dan masih berjaya mengukuhkan kedudukan mereka di tempat kedua bagi jualan kenderaan di Malaysia.

Sedikit menaik berbanding dengan jumlah jualan pada September iaitu sebanyak 11,269 unit. Namun, jualan keseluruhan bagi sepuluh bulan pertama tahun ini telah merekodkan sebanyak 125,557 unit berjaya dijual oleh Proton. Dengan angka ini, Proton menjangkakan pegangan pasaran mereka kini berada pada sekitar 18.1%.

Proton Saga masih lagi mengekalkan kedudukannya sebagai model paling laris di dalam Proton dengan jumlah jualannya pada Oktober mencapai 6,112 unit. Ini menjadikan jumlah terkumpul bagi Saga pada tahun ini sahaja sudah mencecah sebanyak 60,178 unit.

Proton X50 2024 juga menunjukkan jumlah jualan yang kukuh untuk empat bulan berturut-turut sejak pelancarannya dengan jumlah jualannya sebanyak 2,122 unit pada Oktober. Ini menjadikan X50 sebagai SUV segmen-B paling laris di Malaysia dan sudah mencecah sebanyak 19,122 unit.

Proton S70 juga menunjukkan prestasi yang hebat dan mengagumkan di mana sebanyak 1,432 unit berjaya dijual pada Oktober. Ini menjadikan jumlah kumulatif tahunannya mencapai 16,200 unit dan sekaligus mengungguli dalam model sedan segmen-C.

Ia seterusnya disambung oleh Proton Persona dengan jumlah jualannya sebanyak 1,520 unit, sekaligus mencatat jumlah terkumpul untuk tahun ini sebanyak 15,931 unit. Ia disambung dengan Proton X70 sebanyak 989 unitProton Iriz sebanyak 379 unit dan Proton X90 sebanyak 245 unit pada Oktober 2024.

“Suku terakhir 2024 akan menjadi tempoh yang mencabar bagi pemain automotif. Kemasukan jenama dan produk baharu bersama-sama dengan kesungguhan untuk mencapai sasaran jualan sebelum mengakhiri tahun akan membuka pelbagai tawaran untuk pembeli kereta baharu.

“Oleh itu, Proton kekal fokus untuk memastikan kami mengekalkan nilai kereta pelanggan kami dengan meningkatkan kualiti produk dan menyampaikan pengalaman jualan dan servis perkhidmatan selepas jualan yang unggul melalui 157 cawangan 3S/4S kami di seluruh negara,” kata CEO Proton Edar, Roslan Abdullah.

“Menjelang tahun baharu, syarikat akan membina asas untuk memainkan peranan utama dalam pasaran EV. Proton e.MAS telah pun dipratonton kepada beribu-ribu bakal pembeli dan akan mengadakan pelancaran besarnya pada bulan Disember, dengan 36 pengedar mewakili jenama itu,” tambahnya.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD