Sebuah lagi kemalangan membabitkan sebuah treler dan 3 buah kenderaan telah terjadi pagi tadi di Kilometer 69.5, Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara berhampiran Machap dan mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut manakala dua lagi cedera.
Ini adalah kemalangan maut kedua membabitkan treler dalam tempoh tiga hari selepas di Jalan Bukit Tengah, Bukit Mertajam yang menyaksikan seorang wanita terbunuh akibat dihempap kontena, menurut laporan Berita Harian.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I KUP Abd Rahim Razali, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha MT09 itu disahkan meninggal di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Selain itu, seorang lagi mangsa yang memandu Honda Civic dikesan tersepit di tempat duduk, sebelum berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Keluaran Operasi (PKO) peralatan khas.
“Kemalangan membabitkan sebuah lori treler jenama Volvo seberat 40 tan dengan sebuah kereta Honda Civic dan motosikal Yamaha MTO9.
“Pasukan perubatan Kementerian Kesihatan mengesahkan kematian mangsa dan kemudian mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Pemandu lori treler Volvo, seorang lelaki berusia 40 tahun, selamat tanpa sebarang kecederaan.
“Dua lelaki dewasa berusia 25 dan 26 tahun yang menaiki Honda Civic mengalami kecederaan. Mereka dihantar ke hospital oleh orang awam yang berada di lokasi,” katanya.