Seorang kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun maut manakala 8 lagi cedera dalam nahas kemalangan yang membabitkan sebuah kenderaan jenis Proton Iswara dan sebuah lori treler di Kilometer 148.1 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan dekat Bukit Gambir, pada Rabu.
Siasatan telah dijalankan dan kemalangan dipercayai berlaku kerana pemandu treler mengalami microsleep (terlelap). Kemalangan yang terjadi pada jam 2.40 petang itu melibatkan lapan sekeluarga yang menaiki Proton Iswara dan pemandu treler yang berusia 28 tahun.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, pihak polis menerima laporan kemalangan pada jam 3.44 petang. Akibat dari microsleep, treler yang dipandu oleh pemandu tersebut hilang kawalan.
“Treler terbabit kemudian melanggar besi penghadang lebuh raya dan secara kebetulan, sebuah kereta dinaiki keluarga terbabit datang dari arah sama lalu merempuhnya.
“Akibat rempuhan itu, kanak-kanak terbabit cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala tujuh lagi mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk rawatan lanjut,” katanya.
Menurut laporan Sinar Harian, pemandu treler terbabit dilaporkan hanya cedera ringan dan telah ditahan untuk membantu siasatan.
“Lelaki itu akan direman di Mahkamah Majistret Muar esok dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.