20 Pemilik Kenderaan Tenggelam Akibat Banjir Kilat di Putrajaya Terima Bantuan RM1,000

Susulan dari 20 buah kenderaan yang ditelenggami air banjir di Presint 11, Putrajaya, semalam, bantuan sebanyak RM1,000 telah diberikan kepada semua pemilik kenderaan terbabit, lapor Sinar Harian.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, parkir interim yang boleh memuatkan sekitar 200 buah kenderaan akan dibuat oleh Perbadanan Putrajaya sehingga pihak perbadanan menyelesaikan masalah tersebut dalam tempoh 2 minggu.

“Selain itu, saya minta Perbadanan Putrajaya untuk menyediakan sistem amaran dengan penggunaan siren dan amaran kepada penduduk di kawasan itu untuk alihkan kenderaan dengan segera.

“Ini boleh dilaksanakan dengan menggunakan Internet of Things (IoT) iaitu sensor akan dipasang di petak-petak penyelenggaraan saliran di seluruh Putrajaya untuk mengesan tahap ketinggian air,” menurut kenyataan beliau di Facebook.

Kejadian banjir kilat yang terjadi itu adalah yang pertama terjadi di kawasan berkenaan akibat taburan hujan yang tinggi iaitu sebanyak 3 kali ganda dari hujan biasa.

“Dilaporkan 20 kenderaan rosak kesan daripada banjir kilat ini. Kawasan perumahan ini agak besar. Ada kira-kira 2,500 rumah dengan anggaran penduduk sekitar 10,000 orang,” katanya.

Punca banjir adalah disebabkan aliran air tersekat dari Sungai Anak Gajah dan telah menyebabkan air limpahan di kawasan yang lebih rendah, kata Dr Zaliha.

“Aliran air di kawasan perumahan ini menggunakan sistem pembentung. Walaupun besar keluasannya, tetapi dalam keadaan cuaca tidak menentu, hujan yang lebat tiba-tiba menyebabkan ia tidak dapat menampung kapasiti air terlalu banyak,” katanya.

Untuk jangka masa panjang, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melihat kembali sistem saliran berkenaan.

“Jika didapati memang tidak dapat menampung, tindakan akan diambil untuk menambah baik bagi mengelakkan perkara sama berulang,” katanya.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD