NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Kereta Mercedes Benz C200 Terbakar, Langgar Bateri Lori di Tengah Jalan

Kereta Mercedes Benz C200 Terbakar, Langgar Bateri Lori di Tengah Jalan

Sebuah kereta jenis Mercedes Benz C200 musnah selepas terbakar di Kilometer 18, Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah pada petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam, siasatan mendapati kejadian berpunca selepas kenderaan itu melanggar bateri lori yang berada di tengah jalan. Selain itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kemalangan terbabit.

“Kejadian berlaku pada jam 3.29 petang di Jambatan Kedua Pulau Pinang dari arah Batu Kawan menghala ke Batu Maung. Kebakaran tersebut disyaki berpunca apabila kenderaan berkenaan melanggar bateri lori yang berada di lorong kanan.

“Kejadian berlaku ketika seorang lelaki berusia 23 tahun memandu kereta terbabit bersama seorang penumpang. Dia yang mempunyai lesen memandu yang sah bersama penumpang bagaimanapun selamat,” katanya.

Walau bagaimanapun, selepas melanggar objek berkenaan, pemandu tersebut masih meneruskan pemanduan ke Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, lapor Sinar Harian.

“Kereta berkenaan melanggar objek tersebut di lorong kanan di Lebuhraya Utara Selatan arah utara sebelum persimpangan keluar Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

“Pemandu kemudian meneruskan pemanduan ke Jambatan Sultan Abdul Halim dan apabila tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit berasap lalu pemandu memberhentikan kenderaannya,” tambahnya.

Menurut beliau, polis sedang menunggu laporan daripada pemandu kereta berkenaan untuk siasatan selanjutnya.

“Kita juga sedang mengesan rakaman kamera litar tertutup di lokasi selain mengesan saksi kejadian,” katanya.

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy