Tak Tahu Anak Bawa Motosikal Merupakan Alasan Paling Popular Diberikan Ibu Bapa

Tak Tahu Anak Bawa Motosikal Merupakan Alasan Paling Popular Diberikan Ibu Bapa

Tak tahu anak bawa motosikal merupakan alasan paling popular diberikan para ibu bapa apabila anak mereka ditahan oleh pihak berkuasa kerana menunggang motosikal tanpa lesen.

Perkara ini dikongsikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Jazmanie Shafawi, sejak Operasi Khas Motosikal dijalankan sejak 1 November lalu.

Kesalahan paling tinggi dicatatkan merupakan kesalahan tidak memiliki lesen memandu dan seramai 319 penunggang motosikal bawah umur telah ditahan di atas kesalahan tersebut, lapor BuletinTV3.

“Ibu bapa sewajarnya memastikan anak masing-masing menggunakan kenderaan dengan kaedah yang betul, termasuk mempunyai lesen memandu dan cukai jalan sah serta perlindungan insurans.

“Mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 tindakan boleh diambil terhadap pemilik kenderaan yang dipandu seseorang yang tidak mempunyai lesen memandu sah.

“JPJ juga boleh mengambil tindakan terhadap ibu bapa atau penjaga yang membenarkan remaja bawah umur memandu kenderaan motor tanpa lesen sah di bawah Seksyen 39 Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

“Justeru, ibu bapa perlu mengambil berat dengan memantau pergerakan anak-anak mereka bagi mengelak menunggang motosikal tanpa lesen memandu dan cukai jalan,” katanya.

Selain itu, sebanyak 134,718 notis saman telah dikeluarkan beserta sitaan yang melibatkan sebanyak 3,668 motosikal di atas pelbagai kesalahan.

“Operasi sama turut menyaring 561 penunggang motosikal dan mendapati 66 daripadanya positif dadah,” katanya.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD