Proton X50 Sport Edition Kini di Malaysia: Harga Bermula RM105,300, Terhad 1,000 Unit

Syarikat pengeluar kereta nasional, Proton, telah melancarkan varian baru untuk model SUV paling laris mereka, X50 iaitu varian Sport Edition (SE). Varian terbaru ini menampilkan rupa luaran yang lebih sporty dengan beberapa penambahbaikan di bahagian dalaman dan juga luaran.

Proton X50 SE menampilkan 13 penambahbaikan eksklusif, diketuai oleh Aerokit sporty yang menampilkan skirt hadapan, belakang, dan sisi. Warna badan Quartz Black yang menonjol dipadankan dengan hiasan hitam berkilat di bahagian hadapan dan belakang, manakala roda aloi hitam 18 inci dan pelekat badan yang khas melengkapkan penampilannya.

Di bahagian dalam, model ini menawarkan kecanggihan dan kepraktisan yang lebih tinggi. Peningkatan utama termasuk pengecas telefon tanpa wayar untuk sambungan telefon yang lancar, tikar karpet Sport Edition yang menambah sentuhan eksklusif pada kabin, plat pelindung keluli tahan karat untuk menambahkan ketahanan dan gaya, serta dulang but untuk pengurusan kargo yang lebih baik.

Ia masih dikuasakan oleh enjin turbo 1.5 liter yang pernah memenangi anugerah dan menghasilkan 150 PS dan 226 Nm tork. Ia dipadankan dengan transmisi dwi-klac 7-kelajuan (7DCT) dan sama seperti model asas, penarafan keselamatan model ini kekal tinggi dengan memperoleh penarafan lima bintang ASEAN NCAP.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan skrin infotainment bersaiz 10.3 inci dengan pemproses dwi-kuad-teras. Sistem ini memberikan akses kepada pelbagai ciri termasuk sistem arahan suara “Hi PROTON” dan aplikasi Proton Link untuk kawalan kenderaan jarak jauh.

Kamera 360 Darjah Definisi Tinggi dengan paparan 3D sekeliling membantu parkir yang lebih selamat, manakala sistem audio 6 pembesar suara meningkatkan kualiti audio. Kerusi pemandu dilengkapi dengan pelarasan kuasa 6 arah, dan penyaman udara automatik memastikan suasana kabin yang selesa. Untuk keselesaan dan privasi yang optimum, Proton X50 SE dilengkapi dengan tint keselamatan yang mengurangkan sinaran UV berbahaya.

Dengan sebanyak RM10,000 nilai tambah pada varian kali ini, Proton hanya menawarkan model ini pada harga bermula RM105,300 dan hanya terhad kepada 1,000 unit sahaja. Rebat sebanyak RM7,000 dan Angpau akan diberikan kepada pelanggan untuk tempoh masa terhad dengan jumlah penjimatan sebanyak RM13,500.

Pelanggan kini sudah boleh mula menempah di bilik pameran Proton seluruh negara atau ke laman web rasmi Proton.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD