Penunggang Motosikal Maut Ketika Cuba Elak Lubang

Perjalanan seorang penunggang motosikal berakhir tragis apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah pikap. Kejadian itu dipercayai berlaku kerana mangsa cuba mengelak lubang dan jalan mendap di Jalan Felda Aring 5 pagi kelmarin.

Mangsa, Muhamad Khairul Nidzan Che Soh, 30, mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki, dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Klinik Kesihatan Aring 1.

Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, siasatan awal mendapati mangsa sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Paloh 1 ke tempat kerja ketika insiden berlaku.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai terbabas ke laluan bertentangan kerana cuba mengelak lubang dan jalan mendap, sebelum bertembung dengan pikap jenis Toyota Hilux yang datang dari arah berlawanan.

“Pemandu pikap, seorang lelaki berusia 55 tahun, tidak sempat mengelak, menyebabkan perlanggaran berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, cuaca ketika kejadian tidak hujan tetapi berkabus tebal, dengan jarak penglihatan terhad sekitar 20 meter.

Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik, Hospital Gua Musang, untuk proses bedah siasat. Pemandu pikap dan penumpangnya bagaimanapun tidak mengalami kecederaan. 

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.

Superintendan Sik turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk tampil membantu siasatan. Maklumat boleh disalurkan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Gua Musang di talian 09-9121222 atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat di 012-4027283.

Sumber : Berita Harian.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD