NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Nombor Plat Kreatif Seperti ‘Mami’ dan ‘Wati’ Boleh Disaman!

Nombor Plat Kreatif Seperti ‘Mami’ dan ‘Wati’ Boleh Disaman!

Kreativiti rakyat Malaysia dalam memilih nombor pendaftaran kenderaan yang menyerupai nama pemilik seperti ‘Mami’ atau ‘Wati’ memang menarik perhatian. Tapi awas, ia juga boleh membawa padah! Pengarah JPJ Kedah, Stein Van Lutam, mengingatkan bahawa tindakan saman boleh dikenakan jika nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Menurut beliau, perbuatan memodifikasi nombor pendaftaran sehingga menjadi ‘fancy’ atau menyerupai nama melanggar Kaedah 6 (7) Kaedah Kenderaan Bermotor (Pendaftaran & Pelesenan) 1959.

“Memang rakyat kita kreatif, tetapi apabila nombor plat dimodifikasi sehingga boleh dieja sebagai nama, ia sudah melanggar peraturan. Baru-baru ini, kami kesan kes seperti ini di Kedah dengan contoh nombor plat menyerupai nama seperti ‘Mami’ dan ‘Wati’,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Program Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baru Cina peringkat Negeri Kedah 2025 di Taman Intan pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan satu kes menarik perhatian apabila sebuah kenderaan menggunakan nombor pendaftaran yang menyerupai nama seorang wanita. Akibatnya, kereta itu disaman oleh JPJ Kedah kerana tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Wanita berusia 30-an, yang merupakan pemilik kereta berkenaan, mengakui bahawa nombor pendaftaran tersebut adalah hadiah daripada suaminya.

Kes seperti ini sekali lagi menjadi peringatan kepada orang ramai untuk memastikan nombor plat kenderaan mereka mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Jangan biarkan kreativiti membawa kepada tindakan undang-undang!

Sumber : Sinar Harian

Hanani Nezam

Memiliki latar belakang pendidikan yang kukuh dalam bidang Komunikasi Massa dari UiTM, Hanani Nezam adalah seorang penulis automotif gaya hidup yang dinamik. Teras penulisan beliau memfokuskan kepada garapan berita industri permotoran yang segar, pantas, dan relevan untuk komuniti automotif generasi baharu.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy