Cadangan untuk JPJ membatalkan lesen memandu mana-mana individu yang disahkan sebagai OKU mental oleh Kementerian Kesihatan (KKM) perlu dibuat dengan lebih berhati-hati dan bukannya secara stereotaip atau melulu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menegaskan bahawa tindakan membatalkan lesen memandu semua OKU mental secara pukul rata adalah tidak adil, terutama kerana ramai daripada mereka masih mampu memandu dengan baik dan memerlukan kenderaan untuk menjalankan kehidupan seharian, termasuk mencari rezeki.
“Kita kena tengok kes demi kes, bukan buat keputusan secara umum atau stereotaip. OKU mental pun ada yang perlukan lesen untuk urusan harian dan ramai yang boleh memandu dengan selamat.
“Kalau ada kes tertentu yang spesifik, baru kita nilai sama ada lesen perlu ditarik atau tidak. Ini bukan dasar menyeluruh, sebab ramai OKU boleh memandu dengan selamat, malah ada yang jadi pemandu e-hailing dengan lesen sah.
“Saya tak nak keluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan golongan lain. Apa pun, kalau ada kes terpencil, kita akan ambil tindakan yang wajar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoA) Cadangan Pembangunan Ipoh Sentral antara Ipoh Sentral Sdn Bhd (ISSB) dan Country Annexe Sdn Bhd (CASB) di Ipoh kelmarin.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, yang menyaksikan pemeteraian MoA oleh Datuk Imran Salim, Pengarah Urusan Kumpulan MRCB mewakili CASB, dan Firdaus Effendy Mokhtar, Ketua Pegawai Eksekutif ISSB.
Kenyataan ini dibuat susulan gesaan Presiden Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK), Fahami Ashrof Badaruddin, yang mencadangkan JPJ membatalkan lesen memandu individu OKU mental atas alasan ia boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.
Gesaan itu timbul selepas dua insiden melibatkan OKU mental. Dalam satu kejadian di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, motosikal ditunggang seorang lelaki OKU mental terlanggar gerai jualan hingga menyebabkan makanan tumpah, dan dia dipukul orang ramai.
Satu lagi insiden berlaku pada Oktober tahun lalu, di mana tiga penuntut UiTM Dungun maut dilanggar seorang pemandu didakwa pesakit mental. Bagaimanapun, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesihatan mental.
PPJK dilaporkan mahu menghantar surat rasmi kepada JPJ atau Kementerian Pengangkutan untuk meminta sekolah memandu lebih peka terhadap pelajar yang merupakan OKU mental.
Sumber : Berita Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?