Jenama China Semakin Mendominasi Pasaran Automotif Malaysia?

Jenama China Semakin Mendominasi Pasaran Automotif Malaysia?

Jenama automotif dari China seperti Chery, Jaecoo, BYD, GWM dan lain-lain lagi semakin mendominasi pasaran automotif di Malaysia dan ini telah memberi tekanan ketara kepada Bermaz Auto Bhd (BAuto). Hal ini kerana, pegangan pasaran Mazda di Malaysia sepanjang 2024 menunjukkan penurunan yang ketara.

Menurut CGS International, peningkatan sebanyak dua peratus dapat dilihat untuk jumlah keseluruhan kenderaan yang dijual (TIV) di Malaysia pada tahun 2024.

Berbeza dengan pegangan pasaran BAuto, ia menunjukkan penurunan di mana pada tahun 2023 sebanyak 2.4 peratus dan pada tahun 2024 sebanyak 1.8 peratus. Hal ini susulan dengan kejatuhan jualan dari jenama Mazda sebanyak 24 peratus pada tahun 2024.

Khususnya dalam segmen SUV, jenama China telah menawarkan harga yang lebih kompetitif bersama dengan rekaan dan teknologi yang ada pada model tersebut. Sebagai contoh, model-model SUV dari jenama China seperti Omoda 5, Jaecoo J7, BYD Atto 3 dan GWM Haval telah dijual pada harga bermula RM100,000 sehingga RM160,000.

Manakala model paling popular dari jenama Mazda, CX-5, telah ditawarkan pada harga yang lebih tinggi bermula RM145,000 sehingga RM195,000. Hal ini telah mengukuhkan lagi pegangan pasaran jenama China kepada 3.5 peratus pada tahun 2024.

Oleh yang demikian, pada tahun 2025, BAuto merancang untuk memperkenalkan lebih banyak model baharu bagi membantu menaikkan jualan pada separuh kedua 2025. Menurut Berita Harian, tiga model kenderaan elektrik (EV) di bawah jenama BAuto akan dilancarkan pada tahun ini.

Antaranya adalah model Xpeng G9, Mazda CX-60 dan Mazda CX-80. Selain itu, baru-baru ini juga BAuto telah memperoleh hak pengedaran jenama Deepal di Malaysia. Dijangkakan model Deepal S07 bakal dilancarkan ke dalam pasaran Malaysia, selepas BAuto membuat tontonan eksklusif kepada para media tempoh hari.

Dengan pelancaran model-model baharu ini, CGS International menjangkakan jumlah jualan akan meningkat sekaligus memulihkan pendapatan syarikat pada separuh pertama tahun 2026.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2025 NAZZNCO (M) SDN BHD