Memasuki tahun baru 2025, pasaran automotif di Malaysia semakin rancak dengan kehadiran beberapa jenama baru dari negara luar. Bagaimana pula dengan jumlah jualan kenderaan pada tahun 2024? Adakah kita dapat lihat jenama baru atau pun masih didominasi oleh jenama terkenal di Malaysia? Ayuh kita lihat.
Kedudukan pertama dan kedua masih lagi dikekalkan dengan kukuh oleh dua jenama pengeluar automotif negara iaitu Perodua dan Proton. Menurut data dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Perodua berjaya menjual sebanyak 358,100 unit manakala Proton pula sebanyak 147,587 unit. Jika dijumlahkan, ia mencecah lebih 500,000 unit dari dua jenama nasional tersebut.
Berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun lalu, Perodua hanya berjaya menjual sebanyak 330,318 unit. Peningkatan sebanyak 27,782 unit atau 8.4 peratus dapat dilihat sekaligus berjaya memecahkan rekod lebih 350,000 jualan untuk jenama itu.
Beralih kepada Proton, mereka menunjukkan sedikit penurunan walaupun masih kekal berada di kedudukan yang ke-2. Jumlah jualan pada tahun 2024 merekodkan sebanyak 147,587 unit berbanding dengan jumlah pada tahun 2023 iaitu 150,974 unit. Proton telah merekodkan penurunan sebanyak 3,387 unit atau 2.2 peratus pada tahun 2024.
Tempat ketiga juga masih lagi kekal Toyota dengan jumlah jualan pada tahun 2024 merekodkan sebanyak 127,202 unit berbanding pada tahun 2023 iaitu 131,017 unit. Toyota juga telah menunjukkan sedikit penurunan iaitu sebanyak 3,815 unit atau 2.9 peratus pada tahun 2024.
Ia seterusnya disambung oleh Honda di kedudukan yang ke-4 dengan jumlah jualan pada tahun 2024 merekodkan sebanyak 85,273 unit berbanding pada tahun 2023 iaitu 83,087 unit. Berbeza dengan tahun sebelumnya, Honda menunjukkan peningkatan sebanyak 2,186 unit atau 2.6 peratus.
Paling mengejutkan, di tempat ke-5 telah diduduki oleh jenama Chery dengan jumlah jualan pada tahun 2024 merekodkan sebanyak 19,687 unit berbanding pada tahun 2023 iaitu 4,501 unit. Untuk makluman, jumlah jualan ini termasuk dengan jumlah jualan dari Jaecoo iaitu sebanyak 7,041 unit.
Dengan dua tambahan model baru di bawah Chery seperti Omoda E5 dan Tiggo 7 Pro serta tambahan dari model Jaecoo J7 pada tahun 2024, jenama Chery terus melonjak naik dengan peningkatan sebanyak 15,186 unit.
Di tangga ke-6 pula disambung oleh Mitsubishi dengan jumlah jualan pada tahun 2024 merekodkan sebanyak 16,188 unit berbanding pada tahun 2023 iaitu 21,775 unit. Mitsubishi telah merekodkan penurunan yang agak ketara iaitu sebanyak 5,587 unit atau 25.7 peratus pada tahun 2024.
Mazda berada di tempat ke-7 dengan jumlah jualan pada tahun 2024 merekodkan sebanyak 14,790 unit berbanding pada tahun 2023 iaitu 19,598 unit. Jumlah jualan bagi Mazda juga menurun sebanyak 4,808 unit atau 24.5 peratus pada tahun 2024.
Seterusnya, disambung oleh Mercedes Benz dan BMW dengan jumlah jualan pada tahun 2024 sebanyak 11,876 unit dan 10,259 unit berbanding pada tahun 2023 iaitu 14,547 unit dan 12,423 unit. Kedua-dua jenama ini juga menunjukkan penurunan sebanyak 18.3 peratus (Mercedes) dan 17.4 peratus (BMW).
Tempat ke-10 diraih oleh jenama baru, BYD, dengan jumlah jualan pada tahun 2024 merekodkan sebanyak 8,570 unit berbanding pada tahun 2023 iaitu 3,728 unit. Berbekalkan dengan 3 model baru seperti BYD Seal, BYD Sealion 7 dan BYD M6, BYD telah melonjak naik dan mendahului terutamanya dalam segmen kenderaan elektrik (EV).
Dua jenama yang terkeluar dari senarai 10 teratas merupakan Isuzu dan juga Nissan. Dengan beberapa lagi jenama baru akan dilancarkan di Malaysia pada tahun ini, adakah jumlah jualan ini akan berubah? Sama-sama kita nantikan pada tahun hadapan.