Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) bersedia untuk berkongsi kepakaran dengan tiga syarikat baharu yang bakal melaksanakan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman, menyatakan bahawa kehadiran pesaing baharu bukanlah satu ancaman, sebaliknya satu langkah positif yang mampu meningkatkan mutu perkhidmatan serta memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna.
“Persaingan ini sesuatu yang sihat dan dapat membantu meningkatkan prestasi keseluruhan industri pemeriksaan kenderaan. Puspakom mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dengan lebih 1.34 juta pelanggan setiap tahun. Walaupun terdapat cabaran, jenama Puspakom tetap kukuh. Kami juga terbuka untuk berbincang dan meneroka peluang kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu majlis iftar bersama Warga Rumah Seri Kenangan Cheras di Shah Alam, malam semalam.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan mengumumkan pelantikan tiga syarikat baharu dalam industri pemeriksaan kenderaan, menamatkan monopoli Puspakom yang telah berlangsung selama lebih tiga dekad.
Mengulas lanjut, Mahmood menegaskan bahawa kehadiran syarikat-syarikat baharu ini akan memudahkan pelanggan dalam mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan.
Mengenai kemungkinan pekerja Puspakom berpindah ke syarikat pesaing, beliau menyatakan keyakinannya bahawa Puspakom tetap menjadi pilihan utama.
“Kami yakin ada kemungkinan tenaga kerja akan berhijrah, namun berdasarkan pengalaman kami sepanjang lima tahun kebelakangan ini, ramai yang kembali semula. Puspakom mempunyai asas yang kukuh dengan sokongan daripada DRB-Hicom, memberikan jaminan kestabilan kepada pekerja kami,” katanya.
Secara keseluruhannya, Puspakom optimis terhadap perkembangan industri dan bersedia untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?