Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengesan sebanyak 467 notis saman pelbagai kesalahan membabitkan pemandu bas menerusi Op Hari Raya (Op HRA) 2025 sejak 24 Mac lepas.
Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan, daripada jumlah itu sebanyak 111 saman dikeluarkan untuk kesalahan utama, diikuti berkaitan kenderaan perkhidmatan (110), teknikal (60), lesen (46), pelesenan kenderaan (42) dan lain-lain kesalahan (98).
“Selain itu, menerusi 245 penyamaran yang dijalankan, sebanyak 198 notis saman dikeluarkan kepada pemandu bas.
“Antara kesalahan dilakukan termasuklah melakukan pelanggaran etika seperti penggunaan telefon bimbit ketika memandu dan pemanduan melebihi empat jam tanpa kehadiran pemandu kedua,” katanya menurut laporan Astro Awani.
Muhammad Kifli berkata pihaknya juga telah memeriksa 8,173 bas di 54 depoh dan 28 terminal utama di seluruh negara.
“Pelaksanaan aktiviti pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan terhadap operasi bas ini bagi memastikan kelancaran perkhidmatan pengangkutan awam serta meningkatkan tahap keselamatan jalan raya,” katanya.
Untuk memastikan kompetensi dan sikap berhemah pemandu bas, JPJ juga telah bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan untuk melaksanakan ujian saringan air kencing.
“Sebanyak 947 pemandu bas telah diuji, dengan dua pemandu gagal melepasi ujian saringan tersebut selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine dan syabu.
“JPJ terus memberi komitmen dalam menguatkuasakan peraturan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat, pemilik dan pemandu bas yang didapati melanggar undang-undang,” katanya.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?