Seorang maut, manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal dan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Kampung Raja Uda, Klang dekat sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa, berkata insiden kira-kira jam 4.10 pagi itu berlaku ketika kereta jenis Perodua Axia terbabit sedang dalam perjalanan dari arah Pelabuhan Klang menghala ke Jalan Kim Chuan.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati ketika kereta itu menghampiri persimpangan Kampung Raja Uda di Klang, ia membelok ke kanan dalam keadaan lampu isyarat dipercayai hijau.
Bagaimanapun, beliau berkata, kereta itu dilanggar sekumpulan penunggang motosikal sedang bergerak dari arah Klang menghala ke Pelabuhan Klang, yang dipercayai tidak berhenti di lampu isyarat merah.
“Tiga motosikal dikenal pasti terbabit dengan seorang lelaki tempatan berumur 22 tahun yang cedera di kepala serta badan disahkan maut di tempat kejadian akibat perlanggaran berkenaan.
“Dua lagi lelaki tempatan parah membabitkan seorang operator kilang berusia 22 tahun cedera di badan dan kaki, serta seorang pelajar berumur 16 tahun yang parah kaki kanan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ramli berkata, dua penunggang motosikal yang parah itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang untuk rawatan, manakala pemandu kereta berkenaan dilaporkan tiada mengalami sebarang kecederaan.
“Hasil siasatan polis mendapati ketiga-tiga penunggang motosikal itu disyaki terbabit aktiviti samseng jalanan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Khairulnizam Abdul Talib melalui talian 010-2452144.
Sumber: Berita Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?