RHB Investment Bank Bhd mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor automotif dan komponennya, dengan jangkaan bahawa prestasi sektor ini akan terus merosot seiring kitaran ekonomi semasa.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, bank pelaburan itu menjelaskan bahawa ketiadaan pemangkin kukuh yang mampu mendorong jualan dan perolehan ke paras tertinggi baharu menjadi faktor utama kelembapan tersebut.
“Kami mengambil pendekatan pemilihan saham yang teliti, dan mengesyorkan Sime Darby (SIME) sebagai pilihan utama dalam menghadapi fasa penurunan sektor ini. SIME berada dalam kedudukan strategik untuk menyesuaikan diri dengan pewajaran subsidi RON95, memandangkan barisan kenderaan elektrik (EV) yang meluas dimilikinya. Dalam masa yang sama, PERODUA pula menawarkan pelindungan perolehan di tengah-tengah persaingan yang semakin sengit antara jenama bukan nasional,” jelas laporan itu.
RHB Investment Bank juga menjangkakan pelaksanaan semula pewajaran subsidi RON95, meskipun terdapat kemungkinan ia akan ditangguhkan. Hal ini disebabkan kriteria kelayakan penuh yang sepatutnya diumumkan pada suku pertama 2025 masih belum didedahkan kepada umum.
“Kami difahamkan MyKad akan digunakan bersama sistem dua harga, walaupun terdapat potensi penyalahgunaan sistem tersebut. Di samping itu, pengelasan kumpulan T15 – mereka yang tidak layak menerima subsidi – masih dalam proses semakan, yang mungkin menyebabkan pelaksanaan tertangguh sehingga selepas pertengahan 2025.”
Tambahnya, walaupun butiran dasar masih belum diperjelaskan sepenuhnya, langkah rasionalisasi subsidi dijangka meningkatkan kos pemilikan kenderaan. Ini berkemungkinan mendorong pengguna ke arah EV dan mempengaruhi sebahagian pembeli untuk beralih kepada jenama lebih murah, memandangkan pilihan EV mampu milik masih terhad di pasaran.
Isu hala tuju penggunaan EV juga kekal samar, khususnya berkaitan pengecualian duti import dan eksais ke atas EV pemasangan luar negara (CBU) yang akan tamat pada akhir 2025.
“Penamatan insentif ini selari dengan aspirasi kerajaan untuk menarik pengeluar peralatan asal (OEM) menubuhkan operasi pemasangan tempatan. Ini kerana EV pemasangan tempatan (CKD) akan terus menikmati pengecualian cukai sehingga hujung 2027. Namun, kebimbangan timbul sekiranya penamatan ini menjejaskan kadar penggunaan EV, memandangkan kebanyakan EV sedia ada adalah model import.”
RHB turut memaklumkan bahawa ketidaktentuan dasar jangka pendek ini menyebabkan kebimbangan dalam kalangan OEM, yang menunggu kejelasan dasar jangka panjang sebelum membuat keputusan untuk melabur dalam fasiliti pengeluaran tempatan.
Tambahan pula, isu semakan nilai pasaran terbuka (OMV) bagi pengiraan duti eksais ke atas kenderaan pemasangan tempatan (CKD) juga mencetuskan kebimbangan.
“Pengiraan duti eksais sebelum ini berdasarkan kos pembuatan, namun cadangan semakan OMV yang memasukkan kos berkaitan penjualan dijangka meningkatkan harga kereta sebanyak 10 hingga 30 peratus jika dilaksanakan pada Januari 2026. Ini mungkin mendorong lonjakan jualan kereta sebelum pelaksanaan dasar baharu, namun tentangan daripada pengeluar tempatan boleh mempengaruhi keputusan akhir dasar ini.”
Dari sudut jualan, jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi dua bulan pertama tahun ini menyusut sebanyak 14.3 peratus berbanding tahun lalu. Bagaimanapun, TIV Mac dijangka meningkat secara bulanan disebabkan promosi sempena Aidilfitri, meskipun angka suku pertama masih lemah secara keseluruhan.
“TIV bagi tahun 2025 diunjur sekitar 730,000 unit, iaitu penurunan 11 peratus tahun ke tahun. Angka ini mencerminkan prestasi semasa TIV serta mengambil kira kesan asas yang tinggi pada tahun sebelumnya,” tambah RHB Investment Bank.
Sumber : BeritaHarian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?