NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Impian 10 Tahun Musnah Sekelip Mata, Ferrari Baru Terbakar di Tokyo

Impian 10 Tahun Musnah Sekelip Mata, Ferrari Baru Terbakar di Tokyo

Impian seorang lelaki di Jepun untuk memiliki kereta mewah bertukar menjadi mimpi ngeri apabila jentera idamannya, sebuah Ferrari 458 Spider bernilai RM1.47 juta, musnah dalam kebakaran hanya sejam selepas diterima.

Lelaki berusia 33 tahun yang dikenali sebagai Honkon, seorang penerbit muzik, berkongsi detik menyayat hati itu di platform media sosial X, menarik perhatian ramai pengguna di Jepun.

Menurut Honkon, beliau telah menabung selama lebih 10 tahun demi merealisasikan impiannya memiliki sebuah Ferrari. Namun kegembiraan itu tidak bertahan lama.

“Saya baru sahaja menerima kereta itu dan membawanya keluar untuk pandu uji pertama di Lebuhraya Shuto, Tokyo, pada petang Rabu, 16 April,” katanya.

Ketika memandu, dia menyedari kepulan asap putih, namun pada awalnya menyangka ia datang dari kenderaan di sebelah.

“Saya fikir asap itu dari kereta sebelah, tetapi apabila kenderaan itu menjauh, saya sedar asap sebenarnya keluar dari Ferrari saya,” ujarnya.

Dia segera memberhentikan kenderaan di tepi jalan dan menghubungi pihak bomba. Malangnya, dalam masa kurang 20 minit, kereta mewah itu hangus dijilat api.

“Saya rasa saya satu-satunya orang di Jepun yang mengalami kejadian seperti ini,” tulis Honkon di X sambil memuat naik beberapa gambar yang menunjukkan Ferrari itu terbakar hampir sepenuhnya.

Sumber: SinarHarian

Hanani Nezam

Memiliki latar belakang pendidikan yang kukuh dalam bidang Komunikasi Massa dari UiTM, Hanani Nezam adalah seorang penulis automotif gaya hidup yang dinamik. Teras penulisan beliau memfokuskan kepada garapan berita industri permotoran yang segar, pantas, dan relevan untuk komuniti automotif generasi baharu.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy