Polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu tiga premis di Ara Damansara dan Kepong hari ini kerana disyaki membotolkan dan menjual minyak enjin tiruan menggunakan jenama palsu.
Menurut SAC Mohammad Azlin Sadari dari Biro Jenayah Hidupan Liar/Penyiasatan Khas Perisikan (WCB/PSK) Bukit Aman, seramai 13 individu ditahan, termasuk tujuh warga asing dari Bangladesh dan Sri Lanka.
Beliau berkata serbuan dilakukan selepas hampir dua bulan risikan. Siasatan awal mendapati kumpulan itu telah membotolkan minyak enjin tanpa kebenaran dan menampal label jenama kereta tempatan dan antarabangsa yang terkenal, dengan menggunakan alamat palsu.
Produk ini kemudian dijual melalui platform e-dagang dan media sosial. Sindiket ini dipercayai telah beroperasi selama dua hingga tiga tahun dan meraih keuntungan berjuta-juta ringgit.
Operasi tersebut diketuai oleh ACP Zulkarnain Samsudin dan melibatkan pegawai dari WCB/PSK serta KPDN. Antara barangan yang dirampas termasuk minyak enjin, botol kosong dan label jenama palsu.
Mohammad Azlin berkata polis masih menyiasat dari mana sumber minyak enjin itu diperoleh, dan jumlah nilai barangan rampasan masih dalam proses pengiraan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 102 1(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011.
Sementara itu, menurut laporan Bernama, di salah satu premis di Ara Damansara mendapati ia merupakan unit komersial yang dipenuhi botol minyak enjin pelbagai jenama serta tangki besar yang dipercayai digunakan untuk menyimpan dan membotolkan semula minyak ke dalam bekas empat liter.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?