Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengumumkan bahawa Malaysia dan Thailand berhasrat untuk menghidupkan semula perkhidmatan kereta api terus antara Kuala Lumpur dan Bangkok pada tahun ini.
Menurut beliau, pelaksanaan perkhidmatan ini dapat dilakukan dengan segera kerana ia akan menggunakan landasan kereta api sedia ada yang menghubungkan Bangkok, Padang Besar, Butterworth, dan Kuala Lumpur.
“Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) dan State Railway of Thailand (SRT) telah diberikan tempoh tiga bulan untuk membuat persiapan awal bagi memulakan operasi perkhidmatan Kuala Lumpur-Bangkok,” katanya kepada Bernama selepas mengakhiri lawatan kerja sehari ke Thailand pada Jumaat.
Loke turut menjelaskan bahawa inisiatif ini tidak memerlukan pembinaan trek baharu, tetapi lebih kepada aspek koordinasi, pemasaran, dan penjualan tiket secara kerjasama antara kedua-dua negara.
Dalam lawatan kerja tersebut, Loke turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan Thailand, Suriya Juangroongruangkit, serta melawat Stesen Bang Sue Central Terminal. Di sana, beliau diberi taklimat mengenai perkembangan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi.
Selain itu, Loke turut memaklumkan bahawa pihak Thailand mencadangkan sambungan perkhidmatan kereta api dari Sungai Golok ke Rantau Panjang dan Pasir Mas. Beliau menyifatkan cadangan ini sebagai langkah positif yang berpotensi untuk meningkatkan ekonomi dan pendapatan penduduk setempat.
“Kami memerlukan masa untuk melakukan persiapan bagi menghidupkan semula landasan antara Sungai Golok, Rantau Panjang, dan Pasir Mas. Ini kerana projek pemuliharaan trek perlu dilaksanakan terlebih dahulu ke atas landasan kereta api yang sudah lama tidak digunakan,” katanya.
SUMBER : HarianMetro
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?