passionately driven

Wanita Maut Digilis Lori Selepas Tercampak Keluar dari Kenderaan

Wanita Maut Digilis Lori Selepas Tercampak Keluar dari Kenderaan

Seorang wanita berusia 39 tahun maut selepas tercampak keluar dari kereta yang dinaikinya lalu digilis sebuah lori tangki minyak di Kilometer 26, Jalan Lukut-Sepang, Port Dickson, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin memaklumkan, kejadian berlaku sekitar jam 8.20 pagi ketika kenderaan jenis Perodua Myvi itu melalui satu selekoh, dan secara tiba-tiba pintu belakang sebelah kanan terbuka, menyebabkan mangsa tercampak ke laluan bertentangan.

“Mangsa kemudian dilanggar oleh lori tangki minyak jenis Volvo yang datang dari arah berlawanan. Kematian mangsa disahkan di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, siasatan mendapati pemandu kereta yang juga suami mangsa berusia 34 tahun, serta bayi mereka yang berusia lima bulan duduk di kerusi keselamatan di hadapan tidak mengalami sebarang kecederaan. Pemandu lori juga dilaporkan selamat.

Pemeriksaan lanjut menunjukkan kedua-dua kenderaan mempunyai cukai jalan dan insurans yang sah. Ujian air kencing ke atas pemandu kereta menunjukkan keputusan negatif, manakala rakaman kamera papan pemuka lori telah diambil sebagai bahan bukti.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Setakat ini, tiada unsur jenayah dikesan.

Orang ramai diingatkan untuk memastikan semua pintu kenderaan dikunci rapi terutama apabila membawa penumpang, bagi mengelakkan insiden seperti ini berulang.

Sumber: Astro Awani

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2025 NAZZNCO (M) SDN BHD