Penjual kenderaan di Jerman menawarkan diskaun lebih besar bagi kenderaan elektrik (EV) pada April, dengan purata potongan mencecah 16.7 peratus peningkatan sebanyak 1.8 mata peratusan berbanding bulan sebelumnya, menurut laporan Agensi Berita Jerman (dpa).
Pakar ekonomi automotif, Ferdinand Dudenhoffer, menyatakan bahawa sejak Januari, insentif harga untuk EV telah meningkat tiga mata peratusan, yang bersamaan dengan penjimatan lebih EUR1,000 (US$1,132) bagi model-model EV popular. Analisis beliau melibatkan harga dalam talian bagi 20 model kenderaan elektrik sepenuhnya yang paling laris di negara itu.
“Bulan April menunjukkan ambang untuk menawarkan diskaun lebih besar bagi EV semakin rendah,” ujar Dudenhoffer, sambil menjangkakan penurunan harga akan terus berlaku dalam beberapa bulan akan datang.
Pengeluar kenderaan kini terpaksa menjual lebih banyak EV bagi mematuhi had pelepasan karbon yang ditetapkan oleh Kesatuan Eropah. Sebilangan jenama juga mengubah strategi pengedaran mereka, termasuk memperkenalkan semula insentif untuk pengedar dan menjalankan promosi bagi menggalakkan permintaan yang lembap.
Sebaliknya, insentif untuk kereta berenjin pembakaran dalaman dan hibrid plug-in mencatat sedikit penurunan pada April, dan peningkatannya sejak awal tahun ini adalah lebih perlahan berbanding EV, kata Dudenhoffer lagi.
Hasilnya, perbezaan harga antara EV dan kereta konvensional semakin mengecil kini berada pada tahap paling rendah sejak subsidi kerajaan untuk EV dihentikan.
Dudenhoffer turut menyatakan bahawa industri EV Jerman kini berkemungkinan berada di ambang “gelombang baharu pertumbuhan, didorong oleh penawaran harga yang lebih kompetitif.”
Sektor ini menunjukkan pemulihan apabila pendaftaran EV baharu kembali meningkat pada suku pertama tahun ini selepas mengalami kejatuhan pada awal 2024 berikutan penamatan bantuan kerajaan.
Sumber: Astro Awani