NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Kereta Terjunam ke Kolam Kumbahan, Dua Beranak Terselamat

Kereta Terjunam ke Kolam Kumbahan, Dua Beranak Terselamat

Dua beranak nyaris maut selepas kenderaan mereka terbabas ke dalam kolam kumbahan di Taman Kingfisher, Likas.

Dua beranak berdepan detik cemas apabila kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas ke dalam sebuah kolam kumbahan di Taman Kingfisher, di sini, pada pagi Jumaat. Kejadian yang berlaku sekitar jam 8.30 pagi itu melibatkan seorang wanita warga emas berusia 79 tahun dan anak lelakinya berumur 49 tahun. Mereka berjaya diselamatkan oleh orang awam yang berada berhampiran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.36 pagi, sebelum 10 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Perodua Viva terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam kolam kumbahan berkenaan.

“Beberapa individu awam yang kebetulan melalui kawasan tersebut telah bertindak pantas membantu dengan memberikan kayu untuk dijadikan tempat berpaut oleh mangsa,” katanya ketika dihubungi.

Tambah beliau, wanita warga emas itu berjaya keluar sendiri melalui pintu belakang kenderaan, manakala anaknya pula keluar melalui tingkap di bahagian pemandu. Kedua-duanya berpaut pada kayu yang dihulurkan sehingga berjaya keluar dari kolam.

Agustavia turut memaklumkan bahawa salah seorang penyelamat merupakan anggota bomba yang sedang tidak bertugas ketika kejadian.

“Antara individu yang membantu mangsa ialah Pegawai Bomba Kanan I Hasrulnizam Md Zain dari BBP Lintas, yang kebetulan berada di lokasi kejadian walaupun bukan dalam waktu bertugas,” jelasnya.

Kedua-dua mangsa diberi bantuan awal dan ditenangkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba. Operasi menyelamat ditamatkan pada jam 8.54 pagi selepas keadaan disahkan selamat.

 

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD