Honda Malaysia hari ini secara rasmi telah melancarkan Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) pertamanya, Honda e:N1 dan istimewa sempena pelancaran rasmi ini, syarikat itu menawarkan harga jualan pada RM149,900, untuk kuantiti terhad.
Dari segi saiz, e:N1 seakan-akan sama dengan HR-V iaitu 4,380 mm panjang, 1,592 mm tinggi, dengan jarak roda 2,610 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 344 liter dan meningkat hingga 861 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.
Model ini dibina di atas platform pacuan roda hadapan khas yang dinamakan e:N Architecture F, yang direka untuk memberikan pecutan lancar dan kawalan stabil dalam pelbagai keadaan jalan. Ia dikuasakan oleh bateri lithium-ion berkapasiti 68.8 kWj yang mampu menjana kuasa sebanyak 150 kW serta 310 Nm tork, dengan jarak pemanduan sehingga 500 km (mengikut standard NEDC).
Bagi pengecasannya, ia menyokong pengecas pantas DC sehingga 78 kW, dan boleh mencapai status pengecasan 30% hingga 80% dalam masa 50 minit. Manakala untuk pengecas AC sehingga 10 kW memerlukan 6 jam untuk mencapai status pengecasan yang sama. 3 mod pemanduan disediakan iaitu Normal, Sport dan ECON.
BEV ini tampil dengan reka bentuk menarik dan ciri-ciri praktikal seperti Lampu Hadapan LED Penuh, Lampu Belakang LED yang anggun, serta port pengecas tersembunyi untuk pengecasan AC (biasa) dan DC (pantas). Penunjuk pengecasan diletakkan di atas gril hadapan untuk memudahkan pemantauan. Rim Aloi Dual-Tone 18-inci yang eksklusif untuk BEV Honda menambahkan gaya moden dan menarik.
Lencana “H” berwarna putih yang baru melambangkan identiti elektrik Honda dan terdapat pada stereng, keyless remote, penutup port pengecas dan penutup tengah rim. Bahagian belakang pula menampilkan logo Honda dengan jenis tulisan baru, menambahkan rasa premium pada kenderaan ini.
Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan Honda, dan e:N1 dilengkapi teknologi keselamatan penting seperti Blind Spot Information (BSI) dan Cross Traffic Monitor (CTM), serta 9 ciri keselamatan canggih di bawah Honda SENSING.
3 pilihan warna menarik boleh dipilih iaitu Platinum White Pearl, Aqua Topaz Metallic dan Urban Gray Pearl. Bagi menyokong model BEV baharu ini, Honda Malaysia telah melantik 8 pengedar sah di tiga wilayah untuk mengendalikan pertanyaan pelanggan berkaitan e:N1.
Pemilik akan mendapat jaminan 8 tahun/160,000 km untuk bateri dan sistem pemanduan elektrik. Aksesori tambahan termasuk pengecas AC Wall Box Kineta 11 kW. Pelanggan boleh membuat tempahan e:N1 melalui laman web rasmi di https://prebook.honda.com.my/ atau menggunakan aplikasi HondaTouch.