Smart Malaysia telah mengadakan pra-tonton eksklusif untuk model baharu mereka, smart #5 serta membuka tempahan untuk smart #1 BRABUS Edisi Terhad di Malaysia Autoshow 2025.
Smart #5 menandakan kemasukan jenama ini ke dalam segmen SUV elektrik bersaiz pertengahan yang premium. Smart #5 menampilkan rekaan terkini seperti bumbung panoramik dan pintu tanpa bingkai. Bentuknya yang kotak dengan jarak roda 2,900 mm serta panjang 4,695 mm memberi rupa yang gagah dan berani, sesuai dengan jiwa pengembara.
Reka bentuk luaran diserikan dengan cermin sisi dua tona, logo terapung pada rim, serta perincian menarik seperti ‘easter egg’ yang menambah karakter dan gaya.

Bahagian dalamnya hadir dengan mod Comfort, di mana dengan satu sentuhan sudah boleh melaraskan tempat duduk untuk bersantai. Ia dilengkapi dengan kemasan kayu oak, ambient lighting dengan 256 pilihan warna, dan tempat duduk belakang yang boleh dilipat menjadi ruang rehat sebesar katil king.

Dengan ruang simpanan belakang 1,530 liter, ruang depan 72 liter, dan 34 ruang simpanan pintar, ia sesuai untuk gaya hidup moden.

Paparan dalam kabin dikuasakan oleh cip AMD V2000 menggunakan Unreal Engine untuk pengalaman digital yang lancar. Ia menampilkan paparan AR 25.6 inci dan dua skrin AMOLED 13 inci. Pembantu AI bernama Leo boleh dikawal dengan suara. Sistem audio premium 20-pembesar suara Sennheiser dengan pembesar suara boleh naik memberikan pengalaman bunyi yang memukau.
Smart #5 menggunakan bateri 100kWh yang mampu memberi jarak pemanduan sehingga 590km (WLTP). Ia menyokong pengecasan pantas 800V, yang boleh mengecas dari 10% ke 80% dalam hanya 15 minit—sesuai untuk perjalanan jauh.

Untuk laluan mencabar, ia menawarkan mod pemanduan khas seperti Pasir, Salji, Lumpur, Batu, dan Adaptif. Ia juga dilengkapi soket 3.3kW V2L yang boleh digunakan untuk peralatan elektronik semasa aktiviti luar.
Pada masa yang sama, tempahan untuk smart #1 BRABUS Edisi Terhad kini dibuka. Dihasilkan bersama BRABUS Kuala Lumpur, model istimewa ini menampilkan reka bentuk aerodinamik tersuai dengan spoiler depan dan belakang, serta suspensi sport yang lebih rendah sebanyak 35mm.

Ia menggunakan rim BRABUS Monoblock Z bersaiz 19 inci dengan rekaan 10-jejari yang menonjol. Bahagian dalam dipertingkatkan dengan jahitan merah BRABUS, kemasan eksklusif, plat pintu bercahaya, dan pedal aluminium. Harga rasmi dijangka diumumkan pada Jun 2025.
Sebagai ganjaran, pelanggan yang membuat tempahan di Autoshow akan menikmati pelbagai keistimewaan seperti sesi pandu uji awal untuk smart #5, naik taraf kit badan BRABUS secara percuma (untuk tempahan terpilih smart #1 BRABUS), rebat tunai 10%, dan servis percuma selama empat tahun untuk model smart #1 dan smart #3. Tertakluk pada terma dan syarat.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?