Dalam usaha memperkukuh keselamatan jalan raya dan mempercepatkan peralihan kepada mobiliti hijau, Proton memperkenalkan Program Proton Xchange dengan peruntukan sebanyak RM4.8 juta.
Program ini membolehkan pemilik kenderaan lama berusia 15 tahun ke atas, tanpa mengira jenama, menukarnya dengan model Proton baharu — termasuk kenderaan elektrik (EV) popular e.MAS 7. Model lama akan dilupuskan secara sah melalui fasiliti pelupusan automotif bertauliah.
Pengerusi Proton, Tan Sri Syed Faisal Albar, menyatakan bahawa program ini merupakan satu langkah strategik ke arah sistem automotif yang lebih selamat, moden dan mesra alam, sejajar dengan matlamat negara mencapai karbon neutral menjelang 2050.
“Kami berharap inisiatif ini akan menggalakkan orang ramai untuk menggantikan kenderaan lama yang tidak selamat dengan kereta baharu yang dilengkapi ciri keselamatan canggih, seterusnya mengurangkan risiko kemalangan jalan raya,” katanya pada majlis pelancaran program tersebut hari ini.
Program yang terbuka sehingga Disember 2025 ini turut mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pengangkutan.
Menterinya, Anthony Loke, menyambut baik inisiatif Proton dan menyeru lebih banyak pengeluar kenderaan untuk tampil dengan program serupa yang bukan sahaja berorientasikan jualan, tetapi turut menyumbang kepada keselamatan dan kelestarian alam sekitar.
“Sebagai sokongan kepada Program Xchange ini, Kementerian Pengangkutan menawarkan cukai jalan percuma selama setahun bagi setiap pembelian kenderaan baharu Proton melalui program ini,” ujar beliau.
Program Xchange dikendalikan oleh Car Medic Sdn Bhd, fasiliti pelupusan yang diiktiraf sebagai Automotive Treatment Facility (AATF). Ia terbuka kepada pelbagai jenis kenderaan seperti sedan, MPV, van, 4×4, lori dan bas.
Pemilik kenderaan akan menerima:
Rebat tambahan RM2,000 untuk pembelian kereta baharu Proton, dan
Pelupusan kenderaan secara digital melalui sistem e-Dereg oleh Car Medic.
Untuk menyertai program ini, pemilik hanya perlu menyediakan dokumen berikut:
Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC),
Borang JPJK1KD, dan
Sijil Pemusnahan (COD) yang dikeluarkan oleh Car Medic.
Proton berharap langkah ini bukan sahaja mendorong perubahan positif dalam pemilikan kenderaan, tetapi juga menyokong usaha kerajaan dalam membina masa depan automotif yang lebih mampan.
SUMBER : SinarHarian