AFA PRIME Berhad sedang melaksanakan dua projek besar iaitu Projek Pelebaran Lebuhraya KL – Karak yang akan bermula pada suku kedua 2025, serta Projek Mitigasi Banjir yang telah pun bermula di sepanjang LPT1.
Projek Pelebaran Jalan KLK melibatkan laluan antara KM19.2 hingga KM64.5, dari Plaza Tol Gombak ke Plaza Tol Bentong. Laluan ini sering sesak terutamanya pada hujung minggu dan musim perayaan.
Tempoh pembinaan dijangka mengambil masa empat tahun. Kerja awal seperti pemotongan cerun, naik taraf sistem saliran, mitigasi banjir, dan pembinaan tembok penahan sedang dijalankan.
Menurut Pengarah Eksekutif AFA PRIME Berhad, Ir. Vijayaraj, projek ini bukan sekadar menambah lorong, tetapi bertujuan menjadikan lebuh raya lebih selamat, boleh dipercayai dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Lebuhraya ini akan dilengkapi sistem pemantauan masa nyata, perancangan kecemasan dan protokol keselamatan untuk memastikan keselamatan pengguna semasa pembinaan.
Projek ini akan menambah satu lorong di setiap arah dan melebarkan bahu jalan daripada 2.5 meter kepada 3 meter mengikut garis panduan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Bahu jalan yang lebih luas ini boleh dijadikan lorong tambahan pada waktu puncak untuk melancarkan aliran trafik.
Sebanyak 8 kawasan rehat kecemasan baharu akan dibina bagi membolehkan kenderaan rosak dialihkan dengan cepat dari lorong utama, seterusnya mengurangkan gangguan dan meningkatkan keselamatan. Di kawasan trafik tinggi seperti Terowong Genting Sempah, kerja pembinaan hanya akan dijalankan di luar waktu puncak. Lampu akan dipasang dan lampu sedia ada akan disusun semula untuk pencahayaan maksimum.
Serentak dengan kerja pelebaran KLK, AFA PRIME Berhad juga melaksanakan kerja mitigasi banjir di LPT1 untuk memastikan lebuh raya kekal beroperasi semasa hujan lebat. Usaha ini termasuk penilaian risiko banjir, naik taraf sistem saliran, dan penambahbaikan infrastruktur untuk mengurangkan risiko banjir kilat.
Untuk mengawal lalu lintas sepanjang tempoh pembinaan, AFA PRIME Berhad telah melantik Edgenta PROPEL Berhad sebagai rakan pengurusan trafik. Dengan pengalaman luas dalam operasi lebuh raya, mereka akan menyediakan langkah keselamatan seperti penghadang, kon, papan tanda, pengawal lalu lintas, dan pasukan rondaan. Pemantauan 24 jam akan membantu memastikan kelancaran dan keselamatan trafik sepanjang pembinaan.
Sistem Paparan Mesej Digital (VMS) akan dipasang di sepanjang laluan untuk memaparkan maklumat trafik dan kecemasan. Maklumat ini juga akan dikemas kini di media sosial AFA PRIME Berhad supaya pengguna boleh merancang perjalanan mereka dengan lebih baik.
Sebagai laluan penting yang menghubungkan Lembah Klang dengan Pantai Timur, KLK dan LPT1 memainkan peranan besar dalam pergerakan rakyat dan barangan di Semenanjung Malaysia. AFA PRIME Berhad komited untuk menyiapkan projek ini tepat pada masanya dan dengan kualiti terbaik, demi memastikan rakyat Malaysia dapat bergerak dengan lebih yakin, selamat dan selesa pada masa hadapan.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?