Insiden Gajah Mengamuk: Pemandu Vios Selamat, Sempat Lari Ikut Pintu Belakang

Seorang peniaga berdepan detik cemas apabila kereta Toyota Vios yang dipandunya diserang tiga ekor gajah dalam kejadian berhampiran Tasik Banding, Gerik, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, mangsa, Faizal Mohamad, 39, dalam perjalanan dari Kampung Guchil, Kuala Krai menuju ke Kampung Alor Janggus, Alor Setar untuk menziarahi saudaranya yang meninggal dunia.

Menurut Faizal, ketika kejadian, beliau memandu seorang diri dan ternampak enam ekor gajah melintas jalan.

“Saya berhentikan kereta dan matikan lampu sebagai isyarat memberi laluan. Namun tidak lama selepas itu, sebuah lori dari arah belakang meluncur laju dan terus melintasi kawasan itu. Saya percaya bunyi bising dari lori itu mengejutkan kumpulan gajah berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Faizal berkata, tiga ekor gajah termasuk seekor anak gajah kemudiannya menghampiri kenderaannya dan menghentak bahagian hadapan sehingga menyebabkan keretanya kemek teruk.

“Hentakan kuat itu menyebabkan enjin kereta mati dan pintu turut rosak. Dalam keadaan panik, saya lari ke tempat duduk belakang dan berjaya keluar melalui pintu kiri belakang.”

Tambahnya lagi, dia mengalami kecederaan ringan selepas matanya dimasuki serpihan kaca dan luka di bahagian lutut akibat merangkak di atas jalan untuk menyelamatkan diri.

“Saya cuba meminta bantuan daripada pengguna jalan raya yang lain, tetapi mereka juga takut untuk menghampiri kerana gajah-gajah itu masih berada di atas jalan,” katanya.

Pada jam 8.45 malam, sebuah lori lain yang melalui kawasan itu bertindak membaling mercun ke arah kumpulan gajah, menyebabkan haiwan tersebut berlari masuk ke hutan.

“Saya bersyukur kerana masih selamat walaupun kereta rosak teruk. Selepas keadaan kembali tenang, saya hidupkan enjin dan terus memandu ke Balai Polis Gerik yang terletak kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian.”

Faizal kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Gerik untuk mencuci matanya yang terkena serpihan kaca.

Menurutnya, ini adalah kali pertama dia berdepan dengan insiden melibatkan gajah meskipun sudah lapan tahun menggunakan laluan itu secara rutin untuk berulang-alik dari Perak ke Kuala Krai.

“Sejak enam bulan lalu, saya berpindah dan menetap di Kuala Krai selepas isteri saya, seorang guru, berjaya bertukar tempat kerja ke kampung,” katanya yang juga bapa kepada lima orang anak.

SUMBER : HarianMetro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD