NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Warga Thailand Kantoi Sorok 350 Liter Petrol Dalam Toyota Camry Yang Diubah Suai

Warga Thailand Kantoi Sorok 350 Liter Petrol Dalam Toyota Camry Yang Diubah Suai

Seorang lelaki warga Thailand dipercayai menggunakan sebuah Toyota Camry yang diubah suai untuk menyimpan petrol dalam jumlah besar sebelum kegiatannya berjaya dihidu pihak berkuasa.

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan dalam Ops Tiris 4.0 yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis di Kangar.

Menurut Pengarah KPDN Perlis, Rohaida Hassan, suspek yang bekerja sendiri itu dipercayai telah menyembunyikan kira-kira 350 liter petrol di dalam kenderaan berkenaan.

Tangki Khas Dibina Di Bahagian Bonet Dan Ruang Enjin

Hasil pemeriksaan mendapati Toyota Camry bernombor pendaftaran Thailand itu telah diubah suai dengan beberapa ruang penyimpanan tambahan.

Petrol dipercayai disimpan di dalam sebuah tangki khas yang dibina pada bahagian bonet belakang. Selain itu, pihak penguat kuasa turut menemui tangki tambahan yang dipasang di ruang enjin.

Suspek dipercayai sedang menjalankan kegiatan mengisi petrol ketika ditahan di sebuah stor di Kampung Melayu pada kira-kira jam 8.30 pagi.

Operasi tersebut dijalankan oleh tujuh anggota penguat kuasa KPDN Perlis selepas risikan dilakukan selama kira-kira seminggu.

Nilai Rampasan Cecah Hampir RM22,000

Dalam operasi berkenaan, pihak KPDN berjaya menyita kira-kira 350 liter petrol yang dianggarkan bernilai RM1,319.50.

Turut disita ialah sebuah Toyota Camry bernilai RM20,000, sebuah pam minyak bersama hos bernilai RM400 serta dua tong dram dengan nilai RM200.

Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM21,919.50.

Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

KPDN Tegas Terhadap Penyelewengan Barang Bersubsidi

Rohaida berkata KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

Menurutnya, tindakan tegas termasuk pendakwaan boleh diambil terhadap individu yang didapati melakukan kesalahan.

KPDN Perlis juga akan terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain bagi memperhebatkan operasi membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan.

Usaha tersebut terutama sekali akan dipertingkatkan di kawasan berhampiran sempadan bagi memastikan barang kawalan bersubsidi tidak disalahgunakan atau diselewengkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sumber: Astro Awani

 

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy