Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan rekaan ilustrasi terbaharu bagi Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang menampilkan ciri-ciri keselamatan yang telah dipertingkatkan.
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, kad LMM versi terkini ini akan diedarkan secara berperingkat di seluruh negara bermula hari ini. Namun begitu, ia hanya dikeluarkan kepada dua kategori pemohon iaitu warganegara yang akan ke luar negara serta bukan warganegara.
“Bagi pemohon yang hanya memperbaharui lesen, mereka akan menerima versi digital sahaja,” katanya.
Tambah beliau, tidak semua negara menerima lesen memandu dalam bentuk digital melalui aplikasi MyJPJ. Contohnya, Singapura telah mengiktiraf lesen digital, namun terdapat negara lain yang masih memerlukan lesen fizikal.
“Oleh itu, pemohon yang ingin memandu di luar negara perlu membawa lesen fizikal dan mendapatkan Permit Memandu Antarabangsa (IDP) yang boleh dimohon di JPJ, bergantung kepada keperluan dan peraturan negara tersebut,” jelasnya dalam sidang media di IM Intensif Sdn Bhd, Adda Height, hari ini.
Datuk Aedy turut memaklumkan bahawa rekaan baharu kad LMM ini direka untuk mencegah pemalsuan dan pengubahsuaian, selain tahan digunakan sehingga 10 tahun.
“LMM versi terkini ini menampilkan latar belakang Bangunan Sultan Abdul Samad serta motif abstrak gelombang di bahagian hadapan, manakala bahagian belakang pula dihiasi dengan imej Istana Negara dan corak flora abstrak,” katanya.
Proses pencetakan kad LMM bagi kategori terpilih sedang berlangsung secara berperingkat di cawangan JPJ tertentu bagi memberi ruang kepada peralihan daripada versi lama ke versi baharu.
Penambahbaikan Sistem Institut Memandu
Dalam perkembangan lain, JPJ turut mengumumkan penambahbaikan terhadap tiga elemen utama berkaitan pelesenan dan pengoperasian di 248 Institut Memandu (IM) seluruh negara.
Langkah ini bertujuan meningkatkan tahap integriti dan kualiti latihan, selain menangani isu-isu berbangkit di institusi memandu.
“Penambahbaikan ini meliputi garis panduan baharu bagi permohonan penubuhan IM, galakan terhadap pembangunan sistem eTesting dan penggunaan Pusat Ujian Berkomputer KPP01 oleh semua IM serta pelaksanaan operasi khas penguatkuasaan di IM,” katanya.
Beliau menjelaskan, garis panduan baharu itu dirangka bagi memastikan perkhidmatan institusi memandu mencukupi di kawasan berpenduduk padat dan mengurangkan tempoh menunggu calon untuk menyempurnakan proses pembelajaran.
“Contohnya di Klang, calon terpaksa menunggu sehingga tiga bulan untuk melengkapkan latihan, sedangkan di tempat lain seperti IM Intensif Adda Height di sini, hanya mengambil masa sebulan,” jelasnya.
Menyentuh mengenai Operasi Khas Penguatkuasaan IM (OKIM) yang dijalankan di Johor hari ini, beliau berkata dua institut memandu didapati melakukan sebanyak 80 kesalahan.
Antara kesalahan yang dikesan termasuk pengajar mengendalikan lebih daripada jumlah calon yang dibenarkan, calon belajar tanpa pengawasan, pengajar tiada Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM), merokok ketika mengajar serta kegagalan mengemukakan rekod pengajaran (SM4).
SUMBER : BeritaHarian