Susulan dengan sebuah video tular yang memaparkan sebuah Perodua Axia berwarna merah membawa muatan secara berlebihan dan merbahaya, pihak polis telah mengesahkan bahawa pemandu tersebut mengalami masalah jiwa.
Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, pemandu tersebut yang berusia 59 tahun pernah terbabit dalam kemalangan beberapa tahun lalu dan mengalami kecederaan di bahagian kepala.
“Kami bertindak mengesan kereta itu susulan satu video tular berdurasi 13 saat yang dimuat naik di laman Facebook oleh pemilik akaun ‘Sepang Viral’.
“Kereta jenis Perodua Axia dipandu lelaki itu telah ditahan mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi tujuan pemeriksaan dan tindakan lanjut,” katanya.
Siasatan lanjut mendapati pemandu kenderaan tersebut mempunyai lesen memandu yang sah dan kenderaan tersebut juga lengkap dengan dokumen perjalanan, lapor Kosmo!.
Norhizam berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kes itu dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
Sebelum ini, tular mengenai sebuah kereta dipandu dalam keadaan muatan penuh diatas bumbung di sekitar Dengkil sehingga mencetuskan kebimbagan pengguna jalan raya. Difahamkan, muatan yang diletakkan secara berlonggok diatas bumbung kereta itu terjatuh ke atas jalan sehingga berlaku kesesakan lalu lintas.