Seorang lelaki tempatan yang dipercayai tekong darat maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas ketika cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa di Jalan Bunut Sarang Burung-Kampung Kebakat, semalam.
Ketua Polis Daerah Tumpat, ACP Mohd Khairi Shafie berkata, kejadian berlaku sekitar jam 6.50 pagi, melibatkan suspek berusia 34 tahun yang bekerja sebagai buruh. Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 10 pagi ketika menerima rawatan akibat kecederaan parah di bahagian dada di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
“Siasatan awal mendapati suspek memandu sebuah Proton Perdana yang membawa tujuh pendatang asing tanpa izin warga Myanmar, berusia antara 20 hingga 42 tahun, dari arah Bunut Sarang Burung menuju ke Kota Bharu.
“Ketika dikejar oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar longkang konkrit di laluan bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kesemua pendatang asing turut mengalami kecederaan dan kini sedang dirawat di hospital yang sama.
Menurut Mohd Khairi, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala tujuh warga asing tersebut akan disiasat mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63.
Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Muhammad Luqman Al-Hakim Awang di talian 09-7257222.
Sumber: Astro Awani