NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Polis Dedah Pemandu Bas Ada 18 Saman, 13 Daripadanya Kesalahan Memandu Laju

Polis Dedah Pemandu Bas Ada 18 Saman, 13 Daripadanya Kesalahan Memandu Laju

Siapa sangka rupanya sebanyak 18 saman telah dikeluarkan terhadap Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, pemandu bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam kemalangan maut di Lebuhraya Jeli-Gerik, semalam.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, daripada 18 saman dikeluarkan itu, sebanyak 13 saman dikenakan atas kesalahan memandu laju.

Tiga kesalahan lain yang dikenakan saman adalah tidak memakai tali pinggang keledar, manakala satu kesalahan lain masing-masing iaitu tiada lampu brek ketiga dan terlibat dalam kemalangan, kata beliau.

“Siasatan juga mendapati bas terbabit turut mempunyai rekod sebanyak 21 saman dikeluarkan atas kesalahan trafik.

“Bagaimanapun 16 rekod saman ke atas bas terbabit sudah dijatuh hukum, manakala baki lima saman masih dalam siasatan,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat dan pihak berkaitan akan menyiasat nahas kemalangan itu secara menyeluruh.

“Kita akan melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin untuk kita mendakwa pemandu bas terbabit di mahkamah.

“Kita akan menyiasat dalam pelbagai sudut dari segi rekod kesalahan, latar belakang, kegiatan dan kerjaya dia sebelum ini secara sepenuhnya,” ujarnya.

Menurut polis, siasatan awal menunjukkan kemalangan berlaku apabila bas melanggar belakang sebuah Perodua Alza, menyebabkan bas itu terbalik. Sebelum ini dilaporkan bahawa bas tersebut membawa 42 pelajar UPSI, seorang pembantu bas, serta Amirul sebagai pemandu.

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy