NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Dua Maut Dalam Nahas Tiga Treler di Lebuhraya Utara-Selatan

Dua Maut Dalam Nahas Tiga Treler di Lebuhraya Utara-Selatan

Dua lelaki maut dalam satu kemalangan tragis melibatkan tiga buah treler di Kilometer 81.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai R. Pubalan, 45, pemandu treler membawa muatan barangan elektronik, dan kelindannya R. Sivasanthiran, 35. Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah dan tersepit di tempat duduk masing-masing.

Difahamkan, kemalangan tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih 10 kilometer di laluan berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, siasatan awal mendapati treler dipandu mangsa telah merempuh bahagian belakang sebuah treler yang membawa muatan kayu.

“Impak daripada pelanggaran itu menyebabkan treler kayu yang dipandu lelaki berusia 37 tahun pula melanggar sebuah lagi treler bermuatan minyak yang berada di hadapan,” katanya.

Pemandu treler kayu mengalami kecederaan ringan pada kaki dan dada, dan telah dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk rawatan lanjut. Sementara itu, pemandu treler minyak berusia 42 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis turut meminta orang awam yang menyaksikan kejadian tampil memberikan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

SUMBER : HarianMetro

Hanani Nezam

Memiliki latar belakang pendidikan yang kukuh dalam bidang Komunikasi Massa dari UiTM, Hanani Nezam adalah seorang penulis automotif gaya hidup yang dinamik. Teras penulisan beliau memfokuskan kepada garapan berita industri permotoran yang segar, pantas, dan relevan untuk komuniti automotif generasi baharu.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy