Mangsa yang maut dikenali sebagai Jamal Azizul Samat, 44, dan isterinya, Lizawati Abdullah, 41, berasal dari Felda Chini Timur, manakala
tiga anak mereka cedera parah selepas kereta yang mereka naiki terbabas dan bertembung dengan sebuah lori di Jalan Kuantan – Segamat berhampiran Kampung Batu Lapan, Lepar, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, memaklumkan kemalangan berlaku sekitar jam 10 malam ketika keluarga terbabit dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Segamat.
“Siasatan awal mendapati kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan ketika cuba memotong sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah lori,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Akibat perlanggaran itu, pasangan suami isteri tersebut tersepit di bahagian hadapan kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Tiga anak mereka yang berusia antara 6 hingga 17 tahun mengalami kecederaan parah dan telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, pemandu lori berusia 31 tahun bersama dua kelindan hanya mengalami kecederaan ringan.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Berita Harian