Harga minyak mentah global dijangka melonjak sehingga mencecah AS$130 satu tong sekiranya Iran mengambil keputusan untuk menutup Selat Hormuz, menurut laporan agensi berita Sputnik/RIA Novosti yang memetik akhbar Hurriyet Turkiye, kelmarin.
Amaran itu disuarakan oleh Ahli Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Iran, Esmail Kowsari, yang menyatakan bahawa Tehran sedang mempertimbangkan tindakan tersebut sebagai reaksi terhadap siri serangan besar-besaran oleh Israel ke atas sasaran ketenteraan dan kemudahan nuklear Iran.
Selat Hormuz merupakan laluan strategik yang menghubungkan Teluk Parsi ke Teluk Oman, sebelum memasuki Laut Arab dan Lautan Hindi. Ia mengendalikan hampir 20 peratus daripada penghantaran minyak global dan merupakan laluan utama bagi eksport tenaga dari negara-negara seperti Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Akhbar Hurriyet turut melaporkan bahawa ketegangan yang semakin memuncak antara Iran dan Israel dijangka memberi kesan langsung kepada pasaran tenaga antarabangsa. Sekiranya konflik berlarutan, ia boleh membawa kesan besar kepada ekonomi global, terutamanya berkaitan kestabilan harga minyak dan gas asli cecair (LNG).
Pada malam 13 Jun, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melancarkan operasi ketenteraan berskala besar dinamakan Operation Rising Lion, yang menyasarkan pelbagai kemudahan strategik di Iran, termasuk beberapa fasiliti nuklear seperti Natanz dan Fordow, serta posisi tentera di seluruh negara itu.
Beberapa siri serangan turut menyebabkan kematian beberapa pegawai kanan tentera Iran, termasuk Ketua Turus Angkatan Bersenjata, komander tertinggi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dan beberapa tokoh utama program nuklear negara itu.
Sebagai tindak balas, Iran melalui IRGC mengumumkan pelancaran Operation True Promise III ke atas sasaran tentera Israel. Dalam ucapan kepada rakyat, Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menyifatkan serangan Israel sebagai “jenayah besar” dan memberi amaran bahawa rejim Zionis itu bakal berdepan “nasib yang pahit dan dahsyat”.
Menurut laporan Hurriyet, kesan konflik terhadap ekonomi global bergantung kepada sejauh mana dan berapa lama ketegangan ini akan berterusan. Jika peperangan berakhir dalam tempoh dua minggu seperti yang diramalkan, impaknya dijangka terkawal. Namun, konflik yang berpanjangan berpotensi untuk melumpuhkan sebahagian besar perdagangan tenaga global, sekali gus menggugat kestabilan ekonomi antarabangsa.
SUMBER : HarianMetro