AI Xiaomi Keliru: Pemandu Disangka Mengantuk Kerana Saiz Mata Kecil

Seorang lelaki di China berdepan situasi mencuit hati apabila sistem kecerdasan buatan (AI) dalam sebuah kenderaan elektrik (EV) Xiaomi SU7 Max mengeluarkan lebih 20 kali amaran keletihan hanya kerana dia memiliki mata yang kecil secara semula jadi.

Insiden berlaku pada 18 Jun lalu ketika lelaki dikenali sebagai Li memandu kereta milik adik perempuannya. Sistem keselamatan kenderaan tersebut secara berulang kali menganggap Li sedang mengantuk, meskipun beliau menegaskan dirinya dalam keadaan berjaga dan fokus.

“Saya tak mengantuk, memang dari kecil mata saya macam ni,” katanya dalam video yang kini tular di media sosial China, sambil cuba membuka matanya lebih luas sebagai bukti.

Menurut laporan media tempatan, sistem pengesan keletihan Xiaomi direka untuk memantau tingkah laku pemandu seperti mata terpejam, menguap, atau memandang ke tempat lain namun didapati keliru apabila bertindak berdasarkan bentuk mata.

Jurucakap Xiaomi Auto mengesahkan ciri itu boleh dimatikan menerusi tetapan, tetapi tidak digalakkan kerana ia adalah sebahagian daripada langkah keselamatan utama. Pihak syarikat sedang memperhalusi algoritma AI supaya lebih inklusif terhadap kepelbagaian fizikal pengguna.

Model SU7 merupakan EV pertama keluaran Xiaomi dan mencatat sambutan hangat sejak dilancarkan pada Mac 2025, namun kejadian ini menimbulkan perbincangan hangat tentang ketepatan sistem AI dalam mengurus data wajah manusia yang berbeza-beza.

SUMBER : SinarHarian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD