Kehadiran Presiden AS, Donald Trump ke Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025 semalam bukan sekadar mencuri perhatian dunia diplomatik tetapi juga para peminat automotif. Ini kerana kenderaan rasmi yang membawanya, Cadillac One atau lebih dikenali sebagai “The Beast”, berjaya mencuri perhatian ramai ketika konvoi presiden Amerika Syarikat itu melalui jalan utama ibu negara.
Dari luar, “The Beast” nampak seperti limousin Cadillac biasa. Tapi siapa sangka, di sebalik rekaan elegan itu tersembunyi teknologi keselamatan paling ekstrem di dunia. Ia bukan sekadar kenderaan, malah ia ibarat perisai bergerak, direka khas oleh General Motors untuk melindungi pemimpin paling berkuasa di dunia.
“The Beast” dilengkapi enjin diesel V8 6.6 liter, cukup berkuasa untuk menggerakkan badannya yang mencecah hampir 8 tan, sama berat dengan sebuah bas mini. Badan kereta ini dilapisi campuran keluli, seramik dan titanium, menjadikannya tahan peluru, bom tangan, dan juga serangan kimia.
Kaca tingkapnya pula setebal lebih 12 sentimeter, sementara pintunya dikatakan seberat pintu pesawat Boeing 757. Kabin dalamannya kedap udara sepenuhnya, lengkap dengan sistem oksigen sendiri bagi melindungi Presiden daripada sebarang serangan gas toksik.
Kalau berlaku letupan, tangki minyak “The Beast” dilapisi dengan bahan khas kalis letupan, dan sistem pemadam api automatik akan terus aktif dalam beberapa saat. Pendek kata, kalau ada kenderaan paling selamat di dunia — inilah dia.
Dalam kabin “The Beast”, setiap inci ruang direka dengan teliti. Ia mempunyai sambungan terus ke Rumah Putih dan Pentagon, serta sistem komunikasi satelit yang membolehkan presiden berhubung bila-bila masa, di mana sahaja.
Bukan itu saja, “The Beast” juga dilengkapi kit perubatan khas dengan bekalan darah jenis yang sama seperti presiden. Jadi kalau berlaku kecemasan, rawatan boleh dilakukan serta-merta dalam kenderaan itu sendiri.
Tayarnya pula diperbuat daripada bahan kevlar, boleh terus bergerak walaupun bocor atau terkena tembakan. Malah, bahagian bawahnya turut diperkukuh dengan lapisan pelindung anti-letupan, menjadikannya hampir mustahil untuk dimusnahkan.
Hanya segelintir jurutera dan ejen Secret Service tahu reka bentuk sebenar serta komponen dalamannya.
5 unit “The Beast” dibina pada masa yang sama, dan semuanya disimpan di lokasi berbeza.
Setiap kali presiden ke luar negara, dua unit akan diterbangkan — satu digunakan, satu lagi sebagai ‘decoy’.
Harga seunit dianggarkan lebih USD 1.5 juta (lebih RM7 juta), tapi kos sebenar disembunyikan atas faktor keselamatan.
Pemandu “The Beast” dilatih khas oleh Secret Service untuk menghadapi situasi ekstrem — dari serangan bom hingga pemanduan elak peluru hidup.
Untuk lawatan Trump kali ini, “The Beast” dilihat menjadi tumpuan di sekitar Kuala Lumpur — bukan sahaja kerana statusnya, tapi kerana keunikannya. Ramai rakyat Malaysia sempat merakam video konvoi itu, malah ada yang bergurau di media sosial bahawa “kalau The Beast masuk JPJ, confirm fail timbang berat.”
Namun di sebalik gurauan itu, kehadiran “The Beast” sebenarnya membawa mesej besar — ia simbol kuasa, teknologi, dan keselamatan tahap tertinggi yang melambangkan Amerika Syarikat di pentas dunia. Dan buat rakyat Malaysia, dapat melihat “The Beast” dengan mata sendiri di jalan raya bukan sesuatu yang berlaku setiap hari.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?