Cubaan menyeludup diesel ke Thailand gagal selepas mesin pengimbas kargo (UMP Kargo) berjaya mengesan sejumlah besar bahan api itu yang disembunyikan dalam ruang khas sebuah treler pada Jumaat.
Treler bernombor pendaftaran Thailand itu ditahan oleh pasukan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam sekitar jam 2.15 petang.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, hasil imbasan X-ray oleh Unit UMP Kargo menunjukkan imej mencurigakan di bahagian bawah treler tersebut.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati ada ruang khas tersembunyi di dalam tangki bawah treler itu yang dipenuhi cecair disyaki minyak diesel. Ruang itu dipercayai direka untuk mengelak dikesan semasa melalui pintu masuk antarabangsa,” katanya.
Pihak berkuasa menganggarkan jumlah diesel yang disembunyikan sebanyak 3,000 liter, bernilai kira-kira RM8,670. Diesel dan treler tersebut disita sebagai bahan bukti, manakala pemandu warga Thailand berusia 50 tahun telah dibebaskan dengan jaminan RM5,000 untuk membantu siasatan.
Menurut Mohd. Nasaruddin, diesel merupakan barang kawalan di bawah Perintah Kawalan Bekalan 1974, dan sebarang aktiviti menyimpan atau membawa keluar bahan itu tanpa kebenaran bertulis merupakan satu kesalahan.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 133(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 21(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM Bukit Kayu Hitam,” tambahnya.
Sumber: KOSMO!
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?