Cubaan empat lelaki bersenjatakan parang untuk menyamun penumpang sebuah kereta gagal apabila salah seorang daripada mereka melepaskan tembakan, menyebabkan kumpulan penjenayah itu melarikan diri, lapor Kosmo!.
Insiden berkenaan dirakam oleh kamera CCTV di sebuah stesen minyak, dipercayai di sekitar Johor Bahru, dan video berdurasi dua minit itu kini tular di media sosial. Kejadian dikatakan berlaku sekitar jam 12.11 tengah malam semalam.
Dalam rakaman tersebut, sebuah Honda Accord berwarna hitam dilihat berhenti di kawasan parkir stesen minyak. Ketika beberapa orang awam sedang berjalan ke arah kedai serbaneka, sebuah Honda Accord berwarna perak pula berhenti di belakang kereta tadi.
Empat lelaki bertopeng keluar dari kereta perak sambil membawa parang dan terus memecahkan cermin kereta hitam. Difahamkan terdapat tiga individu di dalam kereta yang diserang itu. Orang awam yang berada berhampiran dilihat panik dan melarikan diri.
Salah seorang penumpang dalam kereta hitam itu kemudian melepaskan beberapa das tembakan, memaksa penjenayah menghentikan tindakan mereka dan segera melarikan diri. Ada yang melompat masuk semula ke dalam kereta perak, manakala seorang lagi berlari ke arah jalan utama.
Seorang daripada ‘mangsa’ dilihat keluar dari kereta untuk memastikan penyerang sudah beredar sebelum masuk semula dan terus mengekori kereta penjenayah.
Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan, siasatan terhadap kes ini masih dijalankan.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?